Friday, 6 January 2012

MPS A kental (6.1.2012)

PASUKAN Majlis Perbandaran Seremban (MPS) A menepati ramalan apabila muncul juara Liga Bola Sepak Piala Yang Dipertua MPS 2011, menewaskan Rasah Jaya FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, baru-baru ini.
Bagaimanapun MPS A terpaksa berdepan laluan berliku dalam perlawanan itu apabila menerima tentangan hebat sebelum menang tipis 3-2.

Kejayaan itu membolehkan skuad berkenaan menjulang Piala Pusingan selain meraih RM5,000 manakala Rasah Jaya FC berpuas hati dengan RM3,000.
Begitupun kekecewaan Rasah Jaya FC sedikit terubat apabila penyerangnya, Azlie Kidam dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir.

Sementara itu, tempat ketiga dan keempat menjadi milik Park Avenue dan Gedung Lalang untuk masing-masing pulang dengan medal serta RM1,000.

Sebanyak 25 pasukan dari kawasan pentadbiran MPS dan pasukan jemputan dari luar kawasan itu bertarung dalam liga berkenaan, yang menjadi sebahagian daripada medan mencungkil bakat baru selain memajukan lagi sukan bola sepak di Negeri Sembilan.
Hadiah disampaikan Yang Dipertua MPS yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Abd Halim Abd Latif.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan jumlah hadiah wang tunai bagi juara untuk edisi 2012, dinaikkan kepada RM7,500.
“Saya berharap dengan tawaran hadiah wang yang lebih baik ini bakal menarik banyak pasukan untuk mengambil bahagian pada saingan akan datang sekali gus menjadikan persaingan lebih mencabar,” katanya.

No comments:

Post a Comment