Wednesday 4 January 2012

Shabery kecewa, malu (5.1.2012)

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan dua atlet negara yang positif dalam ujian doping ketika beraksi di temasya Sukan Sea, Indonesia, November lalu sebagai sesuatu yang memalukan arena sukan negara.
Selepas sekian lama atlet negara bersih daripada penyalahgunaan bahan terlarang itu, berita buruk yang didedahkan kelmarin apabila dua atlet meraih pingat masing-masing dalam olahraga dan angkat berat didapati didapati positif ujian doping sampel A. Beliau yang ditemui di sidang media khas untuk memperjelaskan perkara itu di pejabatnya di Kementerian Belia dan Sukan, semalam, gagal menyembunyikan kekecewaannya yang disifatkannya amat memalukan. Lebih memalukan, atlet yang dikaitkan dengan kesalahan itu dikalungkan pingat dan menerima anugerah Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan (Shakam) daripada Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.

“Saya begitu kesal. Perkara ini sudah lama tidak berlaku. Saya harap dua persatuan itu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia menjelaskan perkara ini dengan segera bagi memberi gambaran sebenar. Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
“Melindungi siasatan adalah satu tindakan yang tidak wajar dan jika mereka terus mendiamkan diri itu tanda mereka tidak bertanggungjawab terhadap atlet masing-masing.

“Penyiasatan perlu dilakukan segera oleh persatuan terbabit kerana ia sudah lama dimaklumkan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) iaitu pada 21 Disember lalu dan ia tidak harus diperam terlalu lama,” katanya yang tidak mahu mendedahkan siapa atlet terbabit sehingga keputusan ujian sampel B dikeluarkan, minggu depan.

Shabery turut melabel KOM sebagai persatuan bermasalah kerana tidak memandang serius mengenai isu doping ini apabila hingga kini masih tidak menjatuhkan hukuman kepada anggota kuartert 4x100m yang melarikan diri daripada ujian doping Jun lalu.
“Sekarang sudah terserlah mereka persatuan bermasalah,” kata Shabery yang menegaskan seandainya dua persatuan itu tidak menjalankan tindakan sewajarnya, beliau akan menggunakan kuasanya sebagai menteri bagi mengambil tindakan sewajarnya.

Lebih memeranjatkan, seorang daripada atlet itu adalah pemenang pingat emas dan seorang lagi meraih gangsa yang boleh menyebabkan pingat dimenangi itu ditarik balik seandainya gagal dalam ujian kedua Sampel B.
Bagaimanapun Shabery berkata, kementerian, Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan MOM tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman dan ia perlu ditangani persatuan masing-masing.

No comments:

Post a Comment