Wednesday 4 January 2012

Serena cedera buku lali (5.1.2012)

BRISBANE (Australia): Bekas pemain nombor satu dunia, Serena Williams mengalami kecederaan menjelang aksi di Terbuka Australia apabila pergelangan kakinya terseliuh sewaktu beraksi di kejohanan Antarabangsa Brisbane sementara pilihan utama, Samantha Stosur tersingkir awal buat tahun kedua berturut-turut.
Serena mengalami kecederaan di pergelangan kaki kirinya pada set kedua ketika turun bertemu pemain Serbia, Bojana Jovanovski dan memerlukan rawatan hampir 10 minit termasuk membalut dan diletakkan pendakap sebelum menang, 6-2, 6-4.

Dia dijadual bertemu pemain Slovakia, Daniela Hantuchova di suku akhir namun kecederaan itu menimbulkan keraguan sama ada pemain berusia 30 tahun dari Amerika Syarikat (AS) mampu berada di prestasi terbaik untuk meraih gelaran Terbuka Australia buat kali keenam di Melbourne Park, lewat bulan ini.
Samantha yang menundukkan Serena di Terbuka AS tahun lalu untuk meraih gelaran grand slam pertama meneruskan beraksi buruk di tempat sendiri apabila tewas kepada pemain Republik Czech, Iveta Benesova, 4-6, 2-6.

Tahun ini adalah tahun kedua buat pemain nombor enam dunia yang menjadi pilihan utama di Brisbane tewas di pusingan kedua. Tahun lalu dia tunduk di tangan rakan senegara, Jarmila Gajdosova.

“Saya harap ia hanyalah satu hari yang buruk dan akan bangkit minggu depan dan seminggu selepas itu,” kata Samantha.” - Reuters

No comments:

Post a Comment