Tuesday 3 January 2012

Amaran Kim Swee (4.1.2012)

PERINGATAN awal diberikan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee kepada anak buahnya supaya sentiasa berwaspada agar tidak mudah terjebak dengan gejala mengatur keputusan perlawanan apabila mereka beraksi buat kali pertama dalam Liga Singapura (Liga-S) bulan depan.
Meskipun anak buahnya sudah sedia maklum mengenai perkara itu, beliau tetap mengambil langkah pencegahan dengan memberi kesedaran sebelum sepak mula musim baru Liga-S.

“Perkara ini agak sensitif untuk dibicarakan, namun saya tetap akan memberi peringatan kepada semua pemain kerana mereka harus tahu apakah hukuman yang mereka terima jika melakukan kesalahan ini.
“Mereka perlu tahu, hukuman kepada pesalah ini lebih berat di Singapura dan boleh dipenjarakan. Di Singapura memang ada pertaruhan yang sah namun sebagai pemain mereka tidak dibenarkan berjudi.

“Saya yakin semua pemain sedia maklum namun untuk langkah pencegahan saya akan memberi taklimat secara terperinci mengenai matlamat kita bermain di Singapura. Pengurus pasukan (Datuk Afandi Hamzah) yang juga memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang akan memberikan taklimat,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sesi taklimat itu dilihat pendekatan terbaik diambil Kim Swee buat membimbing pasukannya yang dibarisi 29 pemain bawah 23 tahun memandangkan reputasi buruk Singapura yang pernah dilabel sebagai ‘pusat pertaruhan menentukan keputusan perlawanan’ oleh Ketua Keselamatan Fifa, Chris Eaton dalam laporan yang disiarkan oleh asiaone News sebelum ini.
Malah penangkapan warga Singapura di Helsinki, Finland, Wilson Raj Perumal yang dikaitkan dengan skandal mengatur perlawanan di peringkat antarabangsa tahun lalu turut memberi reputasi buruk kepada arena bola sepak negara jiran itu.

Tidak hairanlah menerusi laporan berita TODAYonline semalam satu langkah awal diambil apabila Biro Siasatan Rasuah Singapura yang akan mengadakan pertemuan dengan Lions XII minggu ini bagi memberi penerangan mengenai bahaya gejala mengatur perlawanan.
Sementara itu, Kim Swee memulakan sesi latihan pertama tahun ini bersama 29 pemain Harimau Muda A di padang Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Katanya, beliau tetap yakin kemampuan pemainnya meskipun penghijrahan tonggak utama seperti Mohd Muslim Ahmad, Abdul Shukor Jusoh (Terengganu), K Gurusamy (Selangor) selain kecederaan yang menimpa pemain termasuk penyerang Izzaq Faris Ramlan.

“Saya yakin pemain yang saya senaraikan mampu mengharungi cabaran dalam Liga Singapura serta mencapai matlamat menduduki kelompok lima pasukan terbaik. Saya akan membuat persiapan dengan menguji tahap kecergasan pemain sebelum memberi tumpuan kepada aspek teknik dan taktikal,” katanya yang membimbing skuad muda negara menjuarai Sukan Sea di Indonesia November lalu.

Harimau Muda A bertandang ke Singapura musim ini hasil kerja sama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang turut menyaksikan pertukaran Lions XII ke Liga Malaysia.

No comments:

Post a Comment