Wednesday 4 January 2012

City makin gah (5.1.2012)

LONDON: Manchester City yang beraksi dengan 10 pemain mendapat kelebihan tiga mata di puncak Liga Perdana selepas jaringan Sergio Aguero, Yaya Toure dan James Milner memastikan kemenangan 3-0 ke atas Liverpool, awal pagi semalam.
Liverpool yang kehilangan penyerang Luis Suarez selepas kelab itu mengesahkan tidak akan membuat rayuan terhadap penggantungan lapan perlawanan kerana mengutarakan kata-kata berbaur perkauman terhadap Patrice Evra gagal mempamerkan persembahan mantap selepas City meledak dua gol pada babak pertama di Eastlands.

City yang kalah mengejut 0-1 kepada Sunderland, Ahad lalu membuka jaringan pada minit ke-10 apabila bintang Argentina, Aguero melepaskan rembatan ke arah gawang Liverpool.
Penjaga gol Liverpool, Pepe Reina pada mulanya kelihatan berjaya menghalang rembatan itu namun membenarkan bola melantun di bawah badannya untuk memberikan pendahuluan 1-0 kepada City.

City menggandakan kedudukan pada minit ke-33 hasil tandukan kencang Toure menyudahkan sepakan penjuru David Silva.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish cuba mengubah nasib kelabnya pada babak kedua dengan menurunkan Steven Gerrard dan Craig Bellamy yang memanaskan bangku simpanan pada babak pertama namun ia tidak berhasil apabila City mengukuhkan cengkaman.
Pemain City, Gareth Barry dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-73 namun kejutan itu hanya sementara apabila City menjadikan kedudukan 3-0 menerusi sepakan penalti Milner selepas Martin Skrtel menjatuhkan Toure.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Roberto Mancini mengatasi pasukan di tangga kedua, Manchester United dengan kelebihan tiga mata.
Kapten City, Vincent Kompany memuji cara rakan sepasukannya bangkit selepas tewas kepada Sunderland.

“Penting untuk kami yang tidak sepatutnya tewas kepada Sunderland namun hari ini kami sangat cekap,” katanya.

“Bagi kami ia sangat mencabar, beraksi dua perlawanan dalam tempoh 48 jam dan ia tiga mata yang berharga.” Bos Reds, Dalglish mengeluh terhadap kegagalan skuadnya menggunakan beberapa peluang terhidang.

“Jika ingin menjadi pasukan yang berjaya, anda perlu klinikal. Malam ini (awal pagi semalam) kami gagal melakukannya,” kata Dalglish.

“Kami perlu lebih tepat jika perlu pergi ke tahap yang disasar. Namun ia satu pengajaran dan kami perlu menerimanya.” Pada aksi lain awal pagi semalam, pasukan di tempat ketiga, Tottenham menundukkan West Bromwich Albion, 1-0 selain pengurus baru Sunderland, Martin O’Neill terus merevolusikan Black Cats apabila sekali lagi mencatat kemenangan 4-1 ke atas Wigan. - AFP

No comments:

Post a Comment