Wednesday 11 May 2011

Sedih kematian pelumba Leopard-Trek (11/05/2011)

RAPALLO: Pendahulu baru Giro d'Italia, David Millar berkata, kejayaan di tempat teratas keseluruhan jelajah itu tidak memberi sebarang makna selepas kematian pelumba Leopard-Trek dari Belgium, Wouter Weylandt pada perlumbaan peringkat ketiga, kelmarin. 

Perlumbaan peringkat ketiga yang dibayangi insiden kemalangan serius itu dimenangi pelumba Sepanyol dari pasukan Androni, Angel Vicioso manakala Millar menduduki tempat kedua untuk merampas kedudukan pendahulu keseluruhan.


“Ia tidak bermakna apa-apa. Saya langsung tidak boleh bayangkan bagaimana keluarganya hendak menghadapi perkara ini, ia begitu teruk,” kata pelumba Britain yang mewakili Garmin-Cervelo itu.


Ditanya sama ada kematian akibat kemalangan menunjukkan sukan itu terlalu berbahaya, dia berkata: “Ia adalah satu daripada berjuta perkara yang terpaksa kami lalui. 

“Ada kalanya, sukan ini sangat tragik, ia berlaku sepanjang sejarahnya tetapi kita banyak mencampur aduk perkara bodoh dalam sukan ini. 

“Namun, pada dasarnya ia sukan yang mempunyai risiko setiap hari.” 

Arena berbasikal dikejutkan kelmarin selepas Weylandt meninggal dunia berikutan kemalangan yang berlaku pada peringkat ketiga Giro d’Italia. - Agensi 

No comments:

Post a Comment