Thursday 19 May 2011

Jangan harap bantuan saya saja (20/05/2011)

DISANDARKAN harapan tinggi mengutip mata pertama untuk pembakar semangat kepada rakan lain menjelang Piala Sudirman di Qindao, China Ahad ini, Lee Chong Wei berharap rakan sepasukan jangan terlalu bergantung kepadanya.

“Kejohanan ini adalah acara berpasukan dan saya seorang belum cukup menjamin kemenangan. Setiap pemain diturunkan perlu berusaha mengutip mata andai mahu pasukan menang dan pergi jauh dalam kejohanan kali ini,” katanya.
Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia mengetuai skuad negara berangkat ke Qindao, semalam yang turut disertai ketua jurulatih, Rashid Sidek, Tey Seu Bock, Rexy Mainaky dan Pang Cheh Chang.


Chong Wei bagaimanapun akur skuad kali ini tidak sekuat dan seimbang berbanding skuad 2009 yang melakar sejarah mara ke separuh akhir buat pertama kali sejak kejohanan campuran itu dianjurkan pada 1989. 

“Kekuatan skuad kali ini adalah dalam acara perseorangan dan beregu lelaki, tetapi kita berharap dapat mengutip mata tambahan serta kemenangan menerusi beregu wanita dan campuran,” katanya. 

Chong Wei bagaimanapun mengakui sesuatu yang melegakan dirinya dan rakan sepasukan kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya mahu kedudukan negara dalam divisyen pertama dapat dikekalkan. 

Skuad negara mesti menang dalam perlawanan pembuka tirai saingan Kumpulan B menentang Russia Isnin ini, jika mahu mara ke suku akhir sebelum membuat perhitungan dengan Indonesia menentukan juara kumpulan, Rabu nanti.

No comments:

Post a Comment