Wednesday 18 May 2011

Mampu pergi jauh (18/05/2011)

Rashid yakin skuad negara boleh lepasi sasaran BAM di Piala Sudirman 

KETIKA Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menetapkan sasaran suku akhir, ketua jurulatih Rashid Sidek percaya skuad negara diketuai jaguh perseorangan Lee Chong Wei mampu pergi lebih jauh dalam saingan Piala Sudirman yang disingkap tirainya di Qindao China, Ahad ini.


Begitupun, Rashid menegaskan syarat pertama andai skuad negara mahu pergi jauh dalam kejohanan campuran itu adalah dengan menjinakkan pilihan ketiga Indonesia, sekali gus muncul juara Kumpulan B yang turut dianggotai Russia.


“Saya yakin kita tidak berdepan masalah untuk menewaskan Russia, tetapi peluang menentang Indonesia 50-50. Jika mampu menewaskan Indonesia dan muncul juara kumpulan, peluang untuk melangkah lebih jauh cerah. 

“Jika kita tewas dan muncul naib juara kumpulan, peluang agak sukar kerana kita mungkin diundi bertemu pasukan hebat termasuk juara bertahan China yang sudah tentu mudah menjuarai kumpulannya,” katanya kelmarin. 

Rashid menegaskan, peluang skuad negara untuk bersaing dan memenangi perlawanan juga bergantung kepada Chong Wei dan pasangan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menamatkan kemarau kejuaraan dengan merangkul Grand Prix Emas Terbuka Malaysia Alor Setar, baru-baru ini. 

“Jika seorang daripada mereka tewas, peluang untuk bersaing boleh dikatakan berakhir. Namun, jika menang, kita harap beregu wanita (Wong Pei Tty-Chin Eei Hui) serta beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying) mampu mengutip mata kemenangan,” katanya. 
Rashid berkata, skuad negara kini dalam persiapan akhir sebelum berangkat ke Qindao esok dan membuka tirai perlawanan dengan menentang Russia, Isnin ini. 

Dalam kejohanan di Guangzhou dua tahun lalu, cabaran Malaysia tersekat di separuh akhir selepas tunduk kepada China 3-0 sebelum negara tembok besar itu menjulang kejuaraan kali ketujuh di final dengan menewaskan Korea Selatan 3-0. 

No comments:

Post a Comment