Wednesday 18 May 2011

Bertindih acara lain (19/05/2011)

Temasya tahun ini beberapa kali ditangguh agar sesuai ketika musim cuti

DENGAN format penganjuran baru mulai tahun ini, kemeriahan Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2011, 2 hingga 12 Jun ini masih diragui kerana bertindih dengan beberapa kejohanan lain.
Membabitkan penyertaan 3,336 atlit dan 1,235 pegawai dalam 19 acara dipertandingkan, pertindihan dengan Sukan Sabah (SAGA) pada 6-11 Jun serta Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada 4-12 Jun, pasti memberi kesan terhadap mutu saingan atlit.


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong menjelaskan, tarikh penganjuran SUKMA tahun ini sudah beberapa kali ditangguhkan bagi mendapatkan masa yang sesuai ketika musim cuti persekolahan.

“Memang sedikit sebanyak menjejaskan daripada segi penyertaan kontinjen dan kewangan. Pada masa yang sama, Johor juga menghadapi masalah apabila ada atlit bola jaring yang diminta menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya, selepas menghadiri mesyuarat teknikal dan majlis pengundian 10 acara sukan berpasukan di MSN Bukit Jalil, semalam. 

Namun Zolkples berharap matlamat pembangunan sukan di negeri terutama dalam acara sukan bukan pilihan tercapai bagi memastikan kesinambungan program pembangunan atlit terutama membabitkan atlit Bawah 21 tahun.

Seperti SUKMA terdahulu, kes pertindihan atlit masih berlaku dengan 35 kes dikesan membabitkan lapan negeri dan turut dibincangkan pada mesyuarat sama semalam. 
“Kali ini, kami kesan ada seorang atlit yang didaftarkan oleh tiga negeri berbeza. Sebelum ini, kami pernah menggantung penyertaan atlit terbabit kerana kes penipuan pendaftaran yang turut membabitkan penerimaan elaun,” katanya.

Zolkples berkata, masalah pertindihan atlit selalunya dapat diselesaikan apabila pengarah majlis sukan negeri bersikap terbuka dalam memastikan setiap atlit dapat bertanding.

INFO
SUKAN MALAYSIA


  • Tarikh: 2 - 12 Jun 2011
  • Tempat: Kuala Lumpur
  • Acara: 19
  • Atlit: 3,336
  • Pegawai: 1,235

No comments:

Post a Comment