Saturday 21 May 2011

Cari talian hayat (22/05/2011)

Dua lagi bakal ekori West Ham yang sudah tersingkir

LONDON: Naik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) membawa bersama habuan 60 juta pound (RM330 juta) dan yang tersingkir akan kerugian jumlah sebesar itu yang membuatkan pasukan bertungkus lumus mahu menyelamatkan diri daripada terjerumus ke Liga Kejuaraan. 

Dengan West Ham sudah sah turun, lima kelab akan beraksi pada hari ini dengan mengetahui bahawa dua daripada mereka tidak akan terselamat pada penghujung hari.
Pertaruhannya begitu tinggi dan kebanyakan kelab yang terjerumus jarang dapat kembali di samping kehilangan pendapatan lumayan daripada perjanjian televisyen.


Di sini kita melihat empat perlawanan yang bakal menentukan hidup mati Wolves, Wigan, Blackburn, Blackpool, Birmingham pada musim EPL 2010/2011. 

Wolves mln Blackburn Rovers 

Kedua-dua pasukan kini mengumpul 40 mata dan berada di atas zon penyingkiran. Steven Fletcher sudah menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan EPL terakhir buat Wolves. Kedua-dua pasukan memasuki hari terakhir tanpa ruang untuk membuat kesilapan. 

Perbezaan gol besar memberikan Blackburn ruang bernafas tetapi jika tewas akan dipintas oleh Wolves. Justeru kedua-dua kelab tidak memiliki sebab untuk berasa selesa. 
Kenyataannya mana-mana antara dua kelab dari Birmingham, Blackpool dan Wigan menang hari ini, kemungkinan besar Wolves atau Blackburn akan terjerumus. Blackburn mungkin selesa dengan seri, yang akan mengekalkan Wolves di bawah mereka dalam liga dan bermakna Blackburn hanya boleh turun jika kesemua pasukan yang berada pada 39 mata menang; kesudahan yang dilihat sukar berlaku. 

Tottenham Hotspur mln Birmingham City 

Birmingham mendapati diri mereka berada dalam kedudukan sukar selepas diaibkan 2-0 di tempat sendiri oleh Fulham hujung minggu lalu. Kekalahan itu bermakna mereka berada di atas Blackpool dalam liga berdasarkan kelebihan satu gol. Dan jika dua pasukan itu menamatkan saingan dengan mata sama ia akan memihak kepada Tangerines yang menjaringkan lebih banyak gol. 

Melihatkan keadaan goyah kedudukan mereka, Birmingham perlu memburu kemenangan di White Hart Lane, tetapi dengan berbuat demikian mereka akan membuka ruang di belakang. Melihatkan kerapuhan keyakinan pasukan, gol awal buat Tottenham akan menjurus kepada kekalahan besar. 

Jika kedua-dua Birmingham dan Blackpool tewas, Birmingham akan turun jika tewas dengan jaringan lebih besar. Ini akan memberikan impak besar bagaimana kedua-dua pasukan akan menghadapi perlawanan terakhir mereka secara taktikal. 

Manchester United mln Blackpool 

Ironis buat pasukan yang didenda kerana menurunkan pasukan lemah pada awal musim bakal berdepan pasukan mungkin menurunkan pasukan lemah pada hari terakhir. 

Ia melengkapkan musim Blackpool yang hampir serupa dengan musim pertama Hull di pentas utama. Kedua-dua pasukan mara ke play-off, memulakan musim dengan kemenangan hebat di tempat lawan, kemudian merosot secara tiba-tiba, dan kini Blackpool berdepan pasukan simpanan Manchester United pada hari terakhir memerlukan kemenangan untuk kekal. 

Adakah Blackpool akan mengulangi pencapaian Hull dan mengelakkan diri daripada kembali terus ke Liga Kejuaraan? Perbualan kini terarah kepada pemilihan pasukan Alex Ferguson dengan final Liga Juara-juara berbaki enam hari lagi. 

Stoke City mln Wigan Athletic 

Kebangkitan hebat Wigan menentang West Ham memberikan harapan untuk kekal dalam EPL. Seperti Birmingham dan Blackpool, Wigan mengetahui bahawa kemenangan, tanpa mengira kesudahan kemenangan tiga kelab lain, akan memastikan mereka kekal selamat. Wigan dilihat memiliki jadual yang berpihak kepada mereka. 

Roberto Martinez membawa pasukannya ke Stoke City, pasukan yang secara efektif sudah mengakhiri musim seminggu lalu dengan kekalahan Piala FA kepada Manchester City. Stoke disentap dengan masalah kecederaan teruk pada perlawanan di Wembley dan kini sukar untuk melihat mana-mana antara pemain itu akan dipertaruhkan bagi pertembungan terakhir musim ini. 

Ketika tewas 3-0 kepada Man City Selasa lalu, bos Tony Pulis tidak menurunkan Robert Huth, Matthew Etherington, Jermaine Pennant, Kenwyne Jones dan Rory Delap - sungguh pun dua yang terakhir itu dinamakan di bangku simpanan. Penjaga gol utama mereka, Asmir Begovic juga tidak dapat beraksi. Martinez berharap keadaan sama akan berulang pada perlawanan menentang Stoke. 

No comments:

Post a Comment