Wednesday 18 May 2011

Miliki kekuatan sama (18/05/2011)

PERLAWANAN akhir Liga Hoki Remaja Malaysia 2011 yang bakal menyaksikan pertembungan dua pasukan terhandal - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP Thunderbolts) - kian terasa bahangnya. 

Perlawanan boleh disifatkan sebagai pentas balas dendam SSBP Thunderbolts apabila gelaran juara liga yang dimiliki mereka musim lalu, dirampas seterunya itu manakala UniKL mahu terus berdiri megah merangkul gelaran juara berganda musim ini.


Di atas kertas, kedua-dua pasukan mempunyai potensi kemenangan yang seimbang memandangkan masing-masing memenangi lapan perlawanan, satu keputusan seri dan tidak pernah tewas pada saingan liga Divisyen Satu.


Begitupun, UniKL yang berada di kemuncak liga dengan kelebihan jaringan berbanding SSBP Thunderbolts, tidak mahu memandang rendah prestasi lawan dan mula menyalakan api perjuangan sebenar di bawah bimbingan S Velappan pada pentas final, Sabtu ini. 

Di pihak lawan yang mempunyai perencana terbaik dan penjaring terbanyak seperti Muhammad Firhan Ashaari, pastinya tidak akan memberi laluan mudah dan mahu membalas dendam atas kekalahan di final musim lalu yang berkesudahan 1-2 kepada UniKL. 

“Ini pertemuan kali kedua dengan UniKL di pentas final dan kami mahu merangkul gelaran juara keseluruhan selepas mereka merampas gelaran juara liga yang kami peroleh musim lalu. Kami berharap untuk menewaskan mereka kali ini. 

“Mungkin kehadiran Firhan yang menimba pengalaman baru beraksi dengan skuad kebangsaan akan memberi sedikit tekanan kepada UniKL,” kata jurulatih SSBP Thunderbolts, Wan Mohd Roslan. 

No comments:

Post a Comment