Monday 16 May 2011

Tolak pilih kasih (17/05/2011)

Gandingan Zakry -Thien How galas cabaran negara di Wembley Ogos ini 

KETUA jurulatih beregu, Rexy Mainaky tampil menegaskan pemilihan Zakry Latif-Hoon Thien How ke Kejohanan Dunia di Wembley Ogos ini yang ‘membunuh’ peluang Gan Teik Chai-Tan Bin Shen beraksi, bukan disebabkan gandingan itu anak didiknya.


“Tiada unsur pilih kasih dalam pemilihan pasangan berkenaan. Tidak kira siapa gandingan yang beraksi pada kejohanan berprestij itu, mereka akan bermain atas nama Malaysia, bukan atas nama saya.


“Lagi pun, pemilihan Zakry-Thien How bukan diputuskan saya seorang, sebaliknya keputusan bersama Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat BAM), Kenny Goh (Pengurus Besar), Datuk James Selvaraj (Pengarah Prestasi Tinggi BAM) dan Tan Kim Her (jurulatih),” katanya. 

Rexy berkata antara kriteria utama pemilihan Zakry-Thien How berbanding Teik Chai-Bin Shen yang menduduki ranking lebih tinggi adalah prestasi terkini dan keupayaan mereka mara ke suku akhir Terbuka Malaysia dan Seluruh England. 

“Kita juga meneliti keupayaan mereka menewaskan beregu terbaik dunia dalam beberapa kejohanan. Sudah tentu kita mahu beregu terbaik mewakili Malaysia demi memastikan mereka mampu bersaing dan mengharumkan nama negara,” katanya. 

BAM pada hari terakhir penyenaraian nama pemain Khamis lalu membuat kejutan apabila menyenaraikan Zakry-Thien How yang menduduki ranking ke-32 dunia mengiringi pasangan emas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong beraksi dalam kejohanan itu. 
Keputusan itu mencetuskan kontroversi kerana BAM mengenepikan Teik Chai-Bin Shen yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) dan Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock yang menduduki ranking dunia lebih tinggi iaitu 16 dan 20. 

No comments:

Post a Comment