Sunday 22 May 2011

Juara Terbuka Brussels (23/05/2011)

BRUSSELS: Pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki mengatasi kesakitan pangkal paha untuk menundukkan pemain China, Peng Shuai 2-6, 6-3, 6-3 - sekali gus menjuarai kejohanan tenis Terbuka Brussels yang diadakan buat julung kali, kelmarin. 

Ia adalah kejuaraan keempat dimenanginya, tahun ini dan yang pertama di gelanggang tanah liat merah sekali gus rangsangan terbaik buatnya menjelang cabaran Terbuka Perancis.
Bermula lesu selepas terpaksa mengharungi perlawanan tiga set sebelum menang ke atas Francesca Schiavone lewat Jumaat lalu, pemain Denmark itu menemui semula semangat dan sentuhan pada set kedua menentang pemain China yang menduduki ranking ke-31 dunia itu.
Perkara yang membimbangkan Wozniacki ialah dia memerlukan rawatan pada pangkal paha kirinya pada set ketiga sebelum memenangi kejuaraan. 

Dia menamatkan baki saingan dengan pangkal paha kirinya berbalut tetapi menegaskan kecederaan itu tidak menjejaskan dirinya menjelang perlawanan pembukaan di Roland Garros menentang pemain yang lebih dua kali ganda usianya, Kimiko Date-Krumm dari Jepun yang berusia 40 tahun. 

“Ia bukan masalah besar. Ia adalah kecederaan kecil. Saya tidak mahu ia melarat,” katanya. - AP 

No comments:

Post a Comment