Thursday 19 May 2011

Rampas takhta Liga Super (20/05/2011)

Selangor putih mata hilang status pendahulu tewas kepada T-Team di Kuala Terengganu

KELANTAN kembali merampas kedudukan teratas Liga Super selepas menewaskan FELDA United 3-1 di Stadium KLFA Cheras, malam tadi. 

Hajat itu tercapai selepas pendahulu terdahulu, Selangor gagal membawa pulang sebarang mata dari kunjungan ke Terengganu apabila tewas 1-2 kepada T-Team.
FELDA United kendalian E Elavarasan seakan dapat mengecewakan pelawat sebaik perlawanan bermula, tetapi selepas gol pertama menerusi sepakan penalti Mohd Azrul Ahmad dibatalkan pengadil dan percubaan keduanya ditangkis penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Kelantan mula bangkit menguasai permainan.


Hantaran cantik Daudsu Jamaluddin kepada Mohd Badri Radzi pada minit ke-30, disempurnakan kapten Kelantan itu untuk mendahului FELDA United 1-0 sehingga tamat babak pertama. 

Pada babak kedua, Kelantan yang turun berbekalkan semangat tinggi selepas mengetahui Selangor tewas di Terengganu, menggandakan jaringan seminit sebaik perlawanan bersambung apabila hantaran Nurul Azwan Roya terkena kaki pertahanan FELDA United untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad buat kali kedua. 

FELDA United berpeluang merapatkan jurang beberapa minit kemudian, tetapi gol jaringan Nizaruddin Yusof dibatalkan pengadil yang menyangkakan penyerang berpengalaman itu dalam kedudukan ofsaid. Namun tuan rumah tidak berputus asa dan percubaan Hasmarul Fadzir (m-84) membuahkan hasil sebelum Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan penalti (m-86) selepas Nurul Azwan dijatuhkan dalam kotak penalti. 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team yang turun tanpa dua tonggak utamanya, Zairol Anuar Zailani dan Subri Sulong, berjaya menyempurnakan misi apabila menundukkan Selangor 2-1 pada perlawanan sebelah petang. 
Muhammad Norfarhan menebus kesilapan awal pada minit ke-38 apabila menanduk masuk gol pertama selepas menerima hantaran tepat Tengku Hasbullah Raja Hassan untuk meletak T-Team di depan sehingga tamat babak pertama. 

Pada babak kedua, Selangor dianugerah sepakan penalti pada minit ke-74 selepas ketua pasukan T-Team, Rosdi Talib menjatuhkan Amirulhadi dalam kotak penalti. Safiq Rahim mudah menyempurnakan sepakan untuk menyamakan kedudukan. 

Namun T-Team terus menggandakan asakan untuk mengecewakan Selangor dan lapan minit sebelum tamat permainan, Indra Putra Mahayuddin menanduk masuk gol kemenangan selepas menerima umpanan cantik Rosdi. 

No comments:

Post a Comment