Saturday 21 May 2011

Terus kemarau trofi (21/05/2011)

PARIS: Amerika Syarikat sudah melalui 29 acara Grand Slam tanpa meraikan juara lelaki dan kejohanan Terbuka Perancis, yang bermula esok hampir pasti tidak akan menyaksikan rentetan buruk itu berakhir. 

Andre Agassi adalah pemain Amerika terakhir menang mahkota lelaki di Roland Garros pada 1999 dan Agassi adalah pemain AS terakhir mara ke suku akhir pada 2003.
Sejak itu, sandaran diletakkan pada Andy Roddick, pemenang gelaran major terakhir buat negaranya apabila dia menjulang Terbuka AS 2003. Tetapi Roddick, yang kini bergelut dengan kecederaan bahu dan belum pernah mara melepasi pusingan keempat dalam sembilan kunjungan, memilih untuk menarik diri daripada kejohanan itu bagi menumpukan kepada Wimbledon yang menyaksikan dia bergelar naib juara tiga kali.


Roddick begitu pun tidak bergelar pemain nombor satu negaranya lagi, selepas dipintas rakan baiknya, Mardy Fish, dengan pencapaian terbaiknya di Roland Garros adalah pusingan kedua. 

Tenis Amerika kini melalui zaman gelap. Sejak seminggu yang lalu, tiada pemain AS lelaki atau wanita dalam kelompok 10 teratas dunia buat kali pertama sejak sistem ranking diperkenalkan hampir 40 tahun lalu. 

Serena Williams, adalah juara wanita terakhir Roland Garros dari Amerika pada 2002, tidak beraksi kerana kecederaan, nasib sama seperti yang menimpa kakaknya, Venus. Pemain wanita Amerika dalam undian teratas adalah Bethanie Mattek-Sands, berkedudukan ke-36 dunia. - AFP 

No comments:

Post a Comment