Thursday 19 May 2011

Ucap tahniah pada rakan senegeri (20/05/2011)

BEK tengah kebangsaan, Mohd Muslim Ahmad mengucapkan tahniah kepada pasukan Terengganu kerana berjaya mara ke final Piala FA selepas mengetepikan cabaran Pahang dengan agregat 5-2 Isnin lalu. 

“Saya harap Terengganu akan muncul juara tahun ini,” kata pemain berasal Kuala Terengganu itu. “Kali terakhir Terengganu menang ialah pada 2000 dan saya rasa sudah tiba masanya untuk pasukan ini kembali bergelar juara.”
Muslim yang mencipta kerjaya bola sepak bersama pasukan pelapis kebangsaan, Harimau Muda A mula dikenali apabila membantu skuad kebangsaan kendalian K Rajagobal menjuarai Piala Suzuki akhir tahun lalu.


Gembira dengan pencapaian rakan senegeri mara ke final Piala FA, Muslim berharap dia dan rakan sepasukan di skuad Olimpik pula mencatat kejayaan manis pada pusingan kedua kelayakan Olimpik menentang Lubnan bulan depan. 

“Itu misi utama kami tahun ini,” kata Muslim yang menjadi antara tonggak utama skuad Harimau Muda A dan Olimpik kendalian Ong Kim Swee “Saya yakin jika kami mempamerkan permainan seperti dicorakkan jurulatih, kejayaan pasti menyusul. 

“Apa yang penting kini ialah kami mengekalkan kecergasan dan bebas daripada kecederaan sebelum pertemuan penting menentang Lubnan.” Muslim sendiri baru pulih daripada kecederaan paha dan hanya mula bermain pada lima perlawanan terakhir Liga Super bersama Harimau Muda A. 

Muslim dan beberapa pemain skuad Olimpik yang kali ini tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan Rajagobal untuk perlawanan persahabatan menentang Hong Kong awal bulan depan berharap ruang diberikan ketua jurulatih kebangsaan itu akan digunakan sepenuhnya pemain. 

No comments:

Post a Comment