Saturday 21 May 2011

Anggap Indonesia seimbang (21/05/2011)

Ketua jurulatih percaya tidak mustahil skuad negara tewaskan barisan Hadinata

WALAUPUN Indonesia kehilangan sentuhan Taufik Hidayat dan pakar beregu campuran, Liliyana Natsir menjelang Piala Sudirman di Qindao, China bermula esok, Rashid Sidek masih menyimpulkan kekuatan musuh tradisi itu tetap sama. 

Ketua jurulatih itu berkata, Indonesia yang pernah muncul juara kejohanan berpasukan campuran itu tetap pilihan memenangi pertemuan terakhir Kumpulan B Rabu nanti, tetapi percaya bukan mustahil skuad negara diterajui Lee Chong Wei melakukan kejutan ke atas skuad bimbingan Christian Hadinata itu.
“Begitupun, saya tidak mahu memikirkan pertemuan menentang Indonesia kerana ia masih jauh dan apa yang penting, fokus kini adalah perlawanan pembuka tirai kumpulan menentang Russia Isnin ini.


“Walaupun Russia dikatakan bakal menjadi mangsa belasahan, saya tidak mahu pemain terlalu yakin. Ini kerana kekuatan pemain wanita mereka lebih baik daripada kita yang masih dalam proses pembinaan,” katanya. 

Sehubungan itu, Rashid berkata, sandaran sudah tentu diletakkan kepada perseorangan dan beregu lelaki untuk menutup kepincangan sambil berharap pemain wanita mampu memperagakan persembahan terbaik untuk mengutip mata. 

“Kita harap Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mampu menangani tekanan yang diletakkan untuk mengutip mata dan tekanan itu juga baik untuk memantapkan mental mereka,” katanya. 

Rashid bersama skuad negara menjalani sesi latihan pertama selama 45 minit di gelanggang pertandingan pagi semalam dan mengakui tempoh diberikan itu belum cukup buat pemain menyesuaikan diri. 
Sementara itu, Hadinata mengakui pertembungan Malaysia-Indonesia pasti sengit kerana tidak ada pasukan yang mahu tewas, selain tidak menafikan sejarah kejohanan menyaksikan banyak kejutan. 

“Tetapi, kami juga mahu memikirkan dulu pertemuan menentang Russia kerana mereka sebenarnya bukan calang-calang pasukan. Mereka ada barisan pemain wanita yang bagus, begitu juga beregu campuran,” katanya. 

No comments:

Post a Comment