Monday 16 May 2011

Mula kebal di tanah liat (17/05/2011)

Tewaskan Nadal kali ke-4, lebar jurang di belakang McEnroe, Vilas 

ROME: Novak Djokovic baru saja hendak menyesuaikan diri untuk mendengar namanya diletak sebaris dengan legenda sukan tenis.


Pemain Serbia yang tampak sukar ditewaskan ketika ini melebarkan rekod tanpa kalah musim ini kepada 37 permainan kelmarin, hasil kemenangan 6-4, 6-4 ke atas pilihan utama, Rafael Nadal di final Terbuka Itali.


Rentetan kemenangan Djokovic itu meletakkannya hanya di belakang John McEnroe yang mencatatkan 42 kemenangan berturut-turut pada 1984. Secara keseluruhan, pemain 23 tahun itu memenangi 39 perlawanan sejak kejayaan Serbia menjuarai Piala Davis pada Disember lalu, tujuh di belakang rekod era Terbuka Guillermo Vilas pada 1977. 

“Ini satu penghormatan menakjubkan untuk menjadi sebahagian daripada sejarah tenis dan sebahagian daripada kumpulan pemain elit - Federer, Nadal, McEnroe, (Ivan) Lendl - lelaki yang menang banyak perlawanan secara berturut-turut,” kata Djokovic. 

“Saya tidak tahu sejauh mana kebaikan berikutan kemenangan ini untuk sukan tenis, namun ia bagus menunjukkan bahawa ada orang lain berupaya menang selain hanya Federer dan Nadal. Ia menjadikannya lebih menarik.” 

Djokovic yang berada di ranking kedua dunia, menang tujuh kejuaraan tahun ini dan menewaskan Nadal semua empat final mereka. 
Dia menewaskan pemain Sepanyol itu kali pertama di atas gelanggang tanah liat pada final Terbuka Madrid minggu lalu dan kemenangan terbaru itu menjadikannya pemain pertama menewaskan Nadal dua kali di gelanggang tanah liat pada tahun yang sama, kejayaan yang hadir seminggu sebelum Terbuka Perancis. 

Djokovic mengumpul terlalu banyak rekod hinggakan dia berfikir panjang apabila ditanya yang manakah paling bermakna buatnya. 

“Saya gembira dengan permainan di gelanggang tanah liat tahun ini - dengan cara pukulan dan keyakinan saya terhadap diri sendiri.” – AP 

No comments:

Post a Comment