Thursday 12 May 2011

FAM bersedia (12/05/2011)

Sanggup bantu FIFA siasat dakwaan menetapkan keputusan perlawanan 

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia berdepan siasatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan tiada apa perlu disembunyikan berhubung dakwaan menetapkan keputusan perlawanan, khususnya berkaitan perlawanan persahabatan menentang Zimbabwe pada 2009.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata pihaknya memiliki segala dokumen diperlukan apabila menerima kunjungan Ketua Keselamatan FIFA, Chris Eaton ke ibu negara, minggu depan.


“Tiada apa perlu dibimbangkan kerana segala prosedur perlawanan berkenaan daripada pihak FAM, selari dengan garis panduan badan induk bola sepak dunia itu. 

“FAM hanya bertindak sebagai tuan rumah dan kami menerima kedatangan Zimbabwe sama seperti pasukan-pasukan lain,” kata Azzuddin. 

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan FIFA, baru-baru ini bahawa wujud penjualan perlawanan di beberapa negara Eropah dan Asia, termasuk Malaysia. 

“Pada Jun 2009, kami menghantar pelawaan kepada beberapa negara dan pada 10 Julai kami menerima jawapan daripada Persatuan Bola Sepak Zimbabwe (ZIFA). 
“Mereka bersetuju menghantar pasukan kebangsaan mereka untuk menguji skuad Sukan Sea negara. Saya tidak lihat apa-apa yang meragukan dalam surat rasmi bertarikh 9 Julai daripada ZIFA ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Henrietta Rushwaya. 

“Seperti amalan lazim ahli gabungan FIFA, Zimbabwe terpaksa menanggung sendiri kos pengangkutan pergi dan balik, manakala FAM hanya akan menanggung kos pengangkutan, penginapan, makan minum dan dobi sepanjang mereka berada di sini,” katanya. 

Menurut Azzuddin, FAM sentiasa teguh dalam pendiriannya menentang segala bentuk penjualan permainan dan perkara sama diterapkan dalam perjalanan Liga Malaysia. “Sepanjang musim ini, belum ada laporan mengenai penjualan permainan dalam Liga Malaysia,” katanya. 

Pada Julai 2009, Zimbabwe didakwa beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk bertemu Malaysia. Pada perlawanan berkenaan, Malaysia membelasah Zimbabwe 4-0 di Stadium Bola Sepak Cheras, tetapi hakikatnya pasukan berkenaan hanyalah berstatus kelab. 

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata polis memandang serius dakwaan FIFA yang menyebut terdapat pembabitan rakyat dari negara ini dalam kegiatan mengatur perlawanan bola sepak secara haram. 

Beliau berkata, jika dakwaan itu benar ia boleh memberi gambaran tidak elok terhadap imej Malaysia, seolah-olah negara ini menyokong aktiviti terbabit. 

Jelasnya, ketika ini pihaknya sedang menunggu kedatangan pegawai pencegah rasuah persekutuan berkenaan yang dijadualkan tiba di negara ini dua minggu lagi bagi tujuan penyiasatan. 

“Walau apapun, harus diingat negara ini adalah antara yang terbaik dari segi operasi membanteras aktiviti perjudian bola sepak Piala Dunia yang dianjurkan di Afrika Selatan tahun lalu,” katanya 

No comments:

Post a Comment