Sunday 22 May 2011

Ramal MU tewaskan Barcelona (23/05/2011)

LONDON: Arsene Wenger akur pesaingnya, Sir Alex Ferguson harus dinobatkan selaku pengurus terbaik, musim ini. 

Tambahan pengurus pasukan Arsenal itu meramal Manchester United mampu menewaskan Barcelona dan memenangi Liga Juara-Juara pada final di Wembley, Sabtu ini.
Ini kerana Wenger berpendapat United, yang tewas kepada Barca di Rome dua tahun lalu lebih ‘segar’ dan dia juga merasakan ia akan menjadi pelengkap musim terbaik buat Fergie.
Fergie dinamakan sebagai Pengurus Terbaik musim ini kelmarin dan menjadi pilihan dinobatkan sebagai pengurus terbaik Persatuan Pengurus-Pengurus Liga dalam majlis makan malam tahunan di London, Isnin ini. Bahkan, Wenger turut mengundinya. 

Wenger berkata mengenai anugerah itu: “Manchester United layak ke final Liga Juara-Juara dan sudah memenangi gelaran (Liga Perdana). Ia (anugerah) itu hanya untuk Ferguson. 

“Dari apa yang saya lihat tiga minggu lalu, tiada detik yang lebih baik selain menang menentang Barcelona. 

“Mereka kelihatan sangat letih dan Manchester United kelihatan lebih baik dari segi fizikal. Saya berpendapat Manchester United mempunyai peluang lebih baik. 
“Beraksi di Wembley akan memberi mereka kelebihan. Anda tahu Barcelona akan menguasai bola 70 peratus daripada masa permainan, tetapi Manchester United lebih berkesan dan berbahaya walaupun hanya menguasai bola sebanyak 30 peratus.” - Agensi 

No comments:

Post a Comment