Saturday 21 May 2011

Tuntut MSN, PESAKA tukar jurulatih (21/05/2011)

DEMI memastikan persiapan menghadapi Sukan SEA November ini tidak pincang, sekumpulan pesilat negara tampil menuntut Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menukar segera jurulatih sedia ada.

Mereka mengakui wujud unsur pilih kasih dalam pasukan, selain tidak dapat menerima jurulatih yang dilantik dengan sepenuh hati kerana kurang berwibawa dan berpengalaman berbanding jurulatih sebelum ini.
Seorang pesilat yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang disenaraihitamkan, mendakwa sukar bagi mereka berlatih jika jurulatih yang dilantik hanya gah memiliki sijil sains sukan, tetapi tidak berpengetahuan dan berpengalaman dalam silat olahraga.


“Dia hanya berpengalaman melatih silat seni, tetapi dari segi teknik pertempuran silat olahraga, minta maaf, dia tidak sehebat jurulatih sebelum ini. Bagaimana kami hendak maju dan bersedia untuk menghadapi Sukan SEA nanti?

“Kami juga dilayan seperti anak tiri kerana jurulatih itu lebih memberi fokus kepada pesilat negeri kelahirannya. Kami sudah memendam perkara ini agak lama, tetapi takut bersuara kerana bimbang disenaraihitamkan,” katanya.

Sementara itu bekas jurulatih, Ahmad Khusairi Ibrahim mahu MSN dan PESAKA mendengar suara pesilat dan menyelesaikan masalah berkenaan segera kerana masih ada masa untuk memperbetulkan keadaan sebelum Sukan SEA bermula. 

“Ketika ini, apa yang saya nampak dan dengar, skuad negara dicatur dan dikuasai individu daripada negeri tertentu. Ini tidak baik untuk masa depan skuad negara. 
“Bayangkan jika individu itu sudah memegang empat jawatan penting serentak, pasti wujud kepentingan termasuk memberi sokongan melantik jurulatih dari negeri kelahirannya,” katanya yang berangkat ke Thailand hari ini untuk menjadi jurulatih di universiti negara itu.

No comments:

Post a Comment