Tuesday 31 May 2011

Mahu kekal (01/06/2011)

Dua penyerang Man U tidak pasti haluan selepas sekadar jadi pemerhati di Wembley

MANCHESTER: Michael Owen merayu kepada lembaga pengarah Manchester United untuk terus kekal di Old Trafford, tetapi dia mungkin mendapati dirinya sebagai 'lebihan' pemain selepas ketua eksekutif David Gill merancang "musim panas lebih sibuk daripada biasa".

Kontrak Owen bakal tamat musim panas ini, dengan diturunkan sebagai skuad utama dalam 15 perlawanan daripada 48 penampilannya bersama United tetapi sekadar memanaskan bangku simpanan pada final Liga Juara-Juara tetapi pilihan berbanding penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, Dimitar Berbatov.
Pada usia 31, karier Owen dilihat menuju ke penghujung, dan dia mengakui penyerang Mexico, Javier Hernandez adalah versi baru dirinya yang lebih baik. Namun ia bukan penghalang buat bekas penyerang kebangsaan England itu cuba mencari kontrak baru di kelab berkenaan.

"Saya mencintai setiap minit di sini," kata Owen yang menyertai perarakan piala Liga Perdana kelmarin.

"Kami mempunyai pemain, pegawai dan pengurus yang hebat, serta peminat setia yang tiada tolok bandingnya. Saya harap ia akan berterusan."

Jurang besar antara Barcelona dan United pada pertembungan final Liga Juara-Juara di Wembley menuntut perubahan besar dalam skuad kendalian Alex Ferguson andai mahu menyaingi kualiti kelab Catalan itu.

David de Gea dikatakan akan menyertai United pada harga sekitar 16 juta pound (RM80.8 juta), manakala beberapa bintang Eropah lain antaranya Luka Modric, Wesley Sneijder dan Ashley Young turut dikaitkan dengan Old Trafford.
Begitupun, selepas sekadar menjadi pemerhati pada final Liga Juara-Juara, Berbatov meminta kontraknya ditamatkan penghujung musim ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment