Thursday 19 May 2011

Bidas gelagat Batista (20/05/2011)

Dia kata hanya orang ‘mabuk’ tak pilih Tevez

BUENOS AIRES: Diego Maradona mengeluarkan kenyataan di televisyen Argentina bahawa penggantinya sebagai jurulatih kebangsaan berada dalam keadaan ‘mabuk’ kerana mencadangkan bahawa penyerang Manchester City, Carlos Tevez tidak diperlukan bagi saingan Copa America. 

Sergio Batista berkata Tevez tidak diperlukan kerana dia memiliki pemain seperti Lionel Messi di Barcelona dan pemain Real Madrid, Gonzalo Higuain yang bermain di posisi sama.
“Anda mestilah seorang yang mabuk atau khayal selepas menghisap dadah jika anda tidak mahu memanggil Tevez,” kata Maradona kepada saluran sukan TyC kelmarin.


“Jangan katakan kepada saya anda mahu menguji pemain lain... ujian apa yang anda perkatakan ini?” 

Maradona, yang minggu lalu bersetuju untuk melatih kelab Emiriyah Arab Bersatu Al Wasl, berkata Messi adalah pemain bercorak berbeza yang tidak sesuai dengan peranan penyerang tengah nombor 9. 

“Setiap orang memiliki corak permainan berbeza, tetapi saya tidak akan turunkan Messi sebagai pemain No. 9,” katanya. 

Tevez juga bingung mengenai sebab dia diketepikan. 
“Saya bermati-matian mahu bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya kepada stesen radio La Red. 

Wujud dakwaan bahawa Tevez diketepikan kerana dia tidak memiliki hubungan baik dengan Messi. 

“Saya memiliki hubungan baik dengan orang kecil itu (Messi). Messi adalah terbaik di dunia, ia sepatutnya dia dan 10 pemain lain,” kata Tevez. - AP 

No comments:

Post a Comment