Saturday 21 May 2011

Sepak takraw semakin hilang seni (22/05/2011)

Sistem kiraan baru hanya bagi tujuan komersil, bukan kekalkan keunikan permainan: Malik

ADAKAH keunikan dan kesenian permainan tradisi negara, sepak takraw akan terus terhakis dengan keputusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengubah sistem kiraan lama 21 mata kepada sistem baru 15 mata (lima set terbaik)? 

Persoalan itu terbit selepas beberapa kejohanan yang menggunakan sistem kiraan baru menyaksikan permainan kebanggaan negara ini semakin hilang keunikan dan seninya kerana berjalan terlalu pantas.
Itu belum termasuk tekong yang mempunyai servis berbisa mampu mematikan bola dengan setiap servis mengakibatkan pengumpan dan perejam langsung tidak berfungsi dan hanya berperanan menjadi pemerhati.


Situasi itu jelas membimbangkan bekas pengumpan terbaik negara, Abdul Malik Samsudin yang menyifatkan keunikan sepak takraw sebenarnya terletak kepada seni libasan serta kawalan bola. 

“Saya lihat sistem kiraan baru ini hanya ‘copyright’ daripada ping pong. Jika ping pong dua kali servis dengan 11 mata penamat, sistem baru sepak takraw yang diperkenalkan ISTAF dengan tiga kali servis dan 15 mata penamat. 

“Sepak takraw tidak mempunyai sistem mata sendiri dan keputusan mereka acap kali mengubah sistem kiraan mata hanya untuk memenuhi tuntutan komersil, bukan untuk mengekalkan keunikan serta kesenian permainan itu,” katanya.

Ditanya apakah formula terbaik untuk mengembalikan semula keunikan permainan tradisi itu, Abdul Malik mencadangkan supaya kedudukan jaring ditinggikan sedikit daripada kedudukan sedia ada. 
“Cadangan meninggikan jaring ini dicadangkan bekas tekong negara, Azman Ismail yang percaya ia mampu mengembalikan semula keindahan permainan ini walau apa juga sistem kiraan mata diperkenalkan. 

“Kami percaya dengan kedudukan jaring ditinggikan, tekong tidak boleh mematikan servis dengan mudah. Jadi, perejam mempunyai peluang lebih tinggi untuk melakukan libasan dan kita boleh lihat semula keunikan serta kesenian permainan ini,” katanya. 

Namun, katanya terpulang kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengemukakan cadangan itu kepada ISTAF seandainya mereka mahu melihat permainan itu ‘hidup’ seperti zaman kegemilangannya sebelum ini. 

No comments:

Post a Comment