Tuesday 31 May 2011

Tetap dijalankan (01/06/2011)

Tumpuan atlit sukan berisiko tinggi selain ujian rambang: Zolkples

ANDAI atlit yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) XIV Kuala Lumpur, bermula esok menganggap tiada ujian doping dijalankan sepanjang temasya itu berikutan akreditasi Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM) masih digantung Agensi Anti Doping Dunia (WADA), mereka jelas silap.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong sebaliknya mengesahkan ujian doping tetap dijalankan dengan tumpuan kepada atlit sukan berisiko tinggi, selain ujian rambang bagi memastikan mereka yang bertanding bebas daripada penggunaan dadah perangsang prestasi.
“Ujian doping seawal peringkat SUKMA penting bagi memastikan atlit muda negara benar-benar bersih daripada bahan terlarang sebelum mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Jadi, tiada sebarang pengecualian diberikan kepada atlit yang bertanding kali ini, walaupun ia membabitkan kos yang tinggi,” katanya semalam.

Zolkples berkata, Institut Sukan Negara (ISN) yang menjalankan ujian itu akan menghantar semua sampel sama ada ke Thailand atau India untuk ujian dan sekiranya ada di antara atlit positif, pingat yang dimenangi mereka akan dilucutkan selain dirujuk kepada persatuan sukan kebangsaan masing-masing untuk tindakan.

“Semua pihak harus memahami ujian dadah bertujuan mendidik atlit, jurulatih dan pengurusan sukan di peringkat negeri serta daerah. Lagipun, pembabitan atlit dalam gejala tidak sihat ini pasti mencemarkan imej temasya ini,” katanya.

Walaupun membabitkan pertandingan di peringkat remaja, penggunaan bahan larangan dan rangsangan tidak terkecuali dan sudah dikaitkan sejak penganjuran temasya itu pertama kali pada 1986

No comments:

Post a Comment