Monday 16 May 2011

Timba ilmu di Le Mans (17/05/2011)

PELUMBA MotoGP negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin gagal menambah rentetan mata kejuaraan dunia miliknya di Grand Prix (GP) Perancis, kelmarin apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-19. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali, berkata sekalipun gagal meraih sebarang mata pada perlumbaan di litar Le Mans itu, pelumba AirAsia SIC AJO itu memperoleh pengajaran berharga daripada perlumbaan bertaraf dunia dan pihaknya juga tetap gembira dengan pencapaian pelumba muda negara berusia 19 tahun itu.


“Jelas sekali, dia masih dalam proses belajar ... saya gembira dengan keputusan dicatat Fahmi di Le Mans walaupun dia tidak meraih sebarang mata,” komen Razlan mengenai prestasi Muhammad Zulfahmi di pusingan keempat Kejuaraan MotoGP Dunia 2011 kategori 125cc itu.


“Pada satu peringkat di dua pusingan terawal, Fahmi berada dalam kelompok 10 teratas … mungkin satu kesilapan dilakukannya menyebabkan dia tercicir ke belakang dan dalam siri kejuaraan seperti ini, satu kesilapan boleh menyaksikan banyak pelumba memotong dan untuk mengejar kembali adalah sukar.” 

Razlan yang mengikuti perlumbaan itu dengan menonton televisyen di rumahnya berkata, perlumbaan di litar Le Mans itu adalah satu pengajaran untuk dipelajari Fahmi dan yakin ia akan menjadi pengalaman sangat berharga buat dirinya. 

“Bagaimanapun, dibandingkan tahun lalu, catatannya kali ini meningkat, malah catatan masa kelayakannya adalah bagus dan kedudukannya ketika menamatkan perlumbaan juga adalah lebih baik berbanding tahun lalu. Justeru, kami berasa gembira,” kata Razlan merujuk kepada keputusan dicatatkan oleh Fahmi ketika musim pertama pertama kali menyertai perlumbaan di litar Le Mans tahun lalu yang mana dia menduduki tempat ke-25 selepas hanya mencatatkan masa kelayakan ke-24 terpantas. 

Pada perlumbaan di Le Mans tahun ini, Fahmi yang tiba di Perancis berbekalkan kejayaan menduduki tempat ke-10 di Jerez dan ke-11 di GP Portugal di Estoril, mencatatkan masa kelayakan terbaik yang pernah dicatatkannya dengan menduduki tangga ke-13. 

No comments:

Post a Comment