Saturday 21 May 2011

Buru rekod peribadi (21/05/2011)

Peluang tambah jaringan apabila bertemu pasukan bawahan liga, Almeria

MADRID: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengalihkan perhatiannya kini kepada memburu kejayaan peribadi hari ini apabila bintang Portugal itu mensasarkan untuk memecahkan rekod 38 gol La Liga sepanjang zaman pada hari terakhir musim. 

Ronaldo yang hujung minggu lalu menyamai rekod yang dicatatkan pemain Athletic Bilbao, Telmo Zarra pada 1951 dan disamakan ikon Mexico di Real Madrid, Hugo Sanchez pada 1990, boleh mencatatkan mercu tanda baru apabila Real melayan kunjungan, Almeria yang sudah tersingkir dari La Liga, di Santiago Bernabeu.
Secara peribadi, Ronaldo mencipta banyak kejayaan tetapi piala yang diidam-idamkan tidak kesampaian dengan kemenangan Piala Raja tidak cukup untuk memuaskan bekas pemain Manchester United pada musim yang menyaksikan Barcelona mengesahkan gelaran.


“Ia adalah musim yang terbaik dari segi gol tetapi sebagai pasukan kami mahu memenangi Liga Juara-Juara dan gelaran liga,” kata Ronaldo. 

Barcelona masih meraikan kejayaan gelaran liga ketiga berturut-turut dan perlawanan terakhir di Malaga hari ini akan memberikan peluang menguji pemain muda menjelang final Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Wembley, 28 Mei. 

Jurulatih, Pep Guardiola merehatkan bintangnya yang keletihan dalam usaha memburu gelaran berganda pada final Liga Juara-Juara. Bek Perancis, Eric Abidal adalah salah seorang pemain yang meningkatkan kecergasannya dalam usaha untuk beraksi pada perlawanan utama itu selepas pulih daripada pembedahan hati. 

“Jika saya tidak beraksi pada final ia bukannya masalah,” kata Abidal. “Saya bernasib baik kerana mengenali pasukan kecergasan saya dan mereka akan membolehkan saya berada pada tahap kecergasan terbaik pada hari itu.” - AFP

No comments:

Post a Comment