Wednesday 18 May 2011

Sedia sahut cabaran (19/05/2011)

Peng Soon-Liu Ying tekad laksana tugas jadi ‘pemutus’ keputusan 

KAMI sudah sedia menjadi ‘pemutus’ keputusan perlawanan!
Itulah tekad beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menggalas tugas penting menyumbang mata kemenangan kepada skuad negara sekiranya kedudukan terikat 2-2 dalam saingan Piala Sudirman di Qindao, China bermula Ahad ini.


“Walaupun kami kecewa sedikit apabila tewas pada final Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia baru-baru ini, tetapi kami sudah melupakannya untuk menyahut cabaran beraksi di Piala Sudirman. 

“Kami akui tugas yang digalas bukan mudah, terutama sekiranya skuad negara berada dalam kedudukan genting (terikat 2-2) dan memerlukan mata kemenangan untuk menewaskan lawan,” kata Peng Soon, semalam. 

Selain Peng Soon-Liu Ying yang disandarkan harapan mencari mata kemenangan, skuad negara yang diketuai jaguh dunia, Lee Chong Wei turut berharap beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut mampu menyinar. 

Strategi skuad negara mudah iaitu mengutip mata daripada Chong Wei dan pasangan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara perseorangan serta beregu lelaki dan mengharapkan beregu wanita dan campuran menyumbang mata kemenangan. 
Peng Soon mengakui kejohanan campuran itu adalah medan terbaik bagi mereka meningkatkan persefahaman dan persembahan, terutama dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Wembley, Ogos nanti. 

“Kejohanan berprestij itu adalah antara sasaran utama dan kami berharap mampu menyinar serta melakukan kejutan ke atas pasangan terbaik dunia nanti,” katanya yang menduduki ranking ke-18 dunia. 

Dalam GP Emas di Kedah baru-baru ini, pasangan yang menduduki ranking ke-18 itu muncul naib juara apabila tewas 21-18, 15-21, 19-21 Tantowi Ahmad-Lilyana Natsir dalam tempoh 57 minit. 

Mereka turut mengejutkan beregu nombor dua dunia dari Thailand, Sudket Prapakamol-T Saralee dan mencatat kemenangan pertama daripada lima pertemuan menentang pasangan Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth dari Indonesia. 

INFO 

SKUAD NEGARA
 

Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Wong Pei Tty, Chin Eei Hui, Chan Peng Soon, Hoon Thien How, Lydia Cheah, Tee Jing Yi, Goh Liu Ying dan Vivian Hoo. 

No comments:

Post a Comment