Wednesday 18 May 2011

Belum pasti beraksi di Catalunya (18/05/2011)

Tulang selangka patah ketika kemalangan di Le Mans, Ahad lalu 

MADRID: Penyertaan Dani Pedrosa dalam perlumbaan tanah air sendiri MotoGP Barcelona, 5 Jun ini masih samar-samar selepas ujian mendapati dia disahkan mengalami tulang selangka patah ketika kemalangan dalam perlumbaan GP Perancis di Le Mans, Ahad lalu.


Penunggang pasukan Repsol Honda dari Sepanyol yang sering dibelenggu kemalangan itu kini berada di tangga ketiga keseluruhan selepas empat perlumbaan, dan sedang bersaing dengan Marco Simoncelli dalam perebutan tempat kedua apabila terbabas selepas terlanggar tayar belakang penunggang Itali berkenaan.


Pedrosa akan memutuskan dalam beberapa hari ini sama ada dia akan menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang yang patah dengan memasukkan besi baru atau membiarkan tulang itu pulih dengan sendiri, kata kenyataan pasukan Repsol Honda. 

“Dalam kedua-dua kemungkinan itu, penyertaannya di Grand Prix Catalunya tidak dapat dipastikan,” kata pasukan itu lagi. 

Pedrosa menjalani pembedahan tulang selangka bulan lalu sebelum memenangi perlumbaan GP Portugal. 

Rakan senegara dan juara bertahan, Jorge Lorenzo yang menunggang Yamaha kini mendahului senarai keseluruhan dengan 78 mata, diikuti penunggang Honda dari Australia, Casey Stoner (66) manakala Pedrosa mengumpul 61. – Reuters 

No comments:

Post a Comment