Wednesday 18 May 2011

Teruja bimbing 7 pemain muda (19/05/2011)

SEGALA-GALANYA bagai dunia baru buat bekas juara wanita kebangsaan Wong Mew Choo yang kini melatih pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). 

Juara Terbuka China 2007 yang menggantung raket awal tahun ini selepas bergelut dengan kecederaan lutut kini bergelar jurulatih sejak sebulan lalu dengan menggilap tujuh pemain, antaranya Norshaida Baharum, Sylvia Kavita Kumares, Cheah Yee See, Evelyn Chee Yi Lyn, Lim Chiew Sien dan Lim Yin Fun.
“Ketika menjadi pemain, anda hanya mengambil berat mengenai diri sendiri, kini saya mempunyai tujuh pemain untuk diawasi. Bukan mudah tetapi saya berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana memberi saya peluang melatih pemain muda,” kata Mew Choo ketika Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS, semalam.


“Kakak saya (Wong Miew Kheng) juga jurulatih di SSBJ dan dia turut memberi beberapa tips untuk membantu saya. Mula-mula rasa gemuruh tetapi kini saya mula seronok menjadi jurulatih,” katanya. 

Bekas pemain nombor satu negara itu berkata, pengalaman luas sebagai pemain akan digunakan untuk berkongsi dan membantu pemain muda memahami dan menangani tekanan ketika berada di dalam gelanggang serta kaedah terbaik untuk bangkit daripada kecederaan. 

“Semua tahu saya pernah mengalami beberapa kecederaan dan saya berharap pengalaman ini akan dapat membantu saya menjadi jurulatih yang lebih berkesan,” kata bekas pemenang pingat emas Sukan SEA itu. 

Menurutnya, kecederaan adalah antara perkara yang tidak dapat dielakkan sebagai seorang atlit tetapi jika gagal menanganinya dengan berkesan, ia akan menjejaskan mutu permainan atlit berkenaan. 

No comments:

Post a Comment