Monday 16 May 2011

Akhiri kemarau juara (17/05/2011)

ROME: Juara Grand Slam tiga kali, Maria Sharapova memenangi kejohanan pertamanya dalam tempoh hampir setahun apabila menewaskan pemain Australia, Samantha Stosur 6-2, 6-4 untuk menjuarai kejohanan tenis WTA Antarabangsa Rome, kelmarin. 

Kejuaraan terakhir dimenangi Sharapova ialah di gelanggang tanah liat Strasbourg yang tidak begitu terkenal sebelum Terbuka Perancis 2010.


Namun, selepas menewaskan pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki pada separuh akhir Sabtu lalu, Sharapova terbukti terlalu handal buat Stosur yang tidak konsisten.


“Saya terlalu teruja kerana menjuarai kejohanan ini,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu. 

“Saya hanya sekali layak ke separuh akhir beberapa tahun lalu dan begitu bermakna dapat menambah kejuaraan ini kepada segala kejuaraan saya sebelum ini. 

“Sudah agak lama sejak kali terakhir saya muncul juara. Saya pernah hampir melakukannya dan pernah mencatatkan keputusan bagus, tetapi memenangi kejuaraan di Rome memberi makna besar kepada saya. 

“Saya sememangnya bukan pilihan, dan tampil ke kejohanan gelanggang tanah liat seperti ini serta menewaskan pemain yang mempunyai keputusan bagus di gelanggang ini memberi makna besar kepada saya.” 
Kejayaan itu menjadi satu berita baik buat pemain Russia itu menjelang seminggu sebelum bermula Terbuka Perancis - satu-satunya kejohanan Grand Slam yang masih belum pernah dimenanginya, malah dia tidak pernah melepasi peringkat suku akhir. – AFP 

No comments:

Post a Comment