Thursday 12 May 2011

Tempat duduk penyokong diasingkan (12/05/2011)

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memutuskan tempat duduk berasingan bagi dua penyokong Pahang dan Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam esok. 

Naib Presiden Satu PBNP, Datuk Omar Othman, berkata pada masa sama, tiket juga dijual secara berasingan, masing-masing dua kaunter Pahang dan Terengganu.


Katanya, penyokong kedua-dua pasukan boleh membeli tiket bermula hari ini dari jam 4 sehingga 6 petang manakala jam 10 pagi pada hari perlawanan. “Keputusan mengasingkan tempat duduk dan kaunter jualan tiket bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sebelum dan selepas perlawanan berkenaan tanpa sebarang masalah membabitkan kedua-dua penyokong.


“Kita menjangkakan lebih 5,000 penyokong akan memenuhi stadium memandangkan ia menemukan dua pasukan dari Pantai Timur, sekali gus merebut tiket ke final piala berprestij itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan jawatankuasa perlawanan di pejabat PBNP, Kuantan semalam. 

Tiket pada perlawanan berkenaan dijual pada harga RM25 bagi berbumbung manakala RM12 untuk terbuka manakala RM6 (kanak-kanak). 

No comments:

Post a Comment