Thursday 12 May 2011

Terkilan anak didik persia peluang (12/05/2011)

WAJAH Azraai Khor Abdullah tetap memberi gambaran betapa terkilan pengendali Negeri Sembilan itu susulan kegagalan anak didiknya memanfaatkan peluang mencipta jaringan ketika kemenangan terhidang depan mata di laman sendiri, malam kelmarin. 

Namun, satu mata yang diragut daripada Kelantan ketika seri 0-0 di Paroi dalam saingan Liga Super tetap memberi satu kepuasan ketika bicaranya lebih terarah kepada ketumpulan barisan depan berpunca daripada masalah kecederaan membabitkan tiga penyerang utama - Ahmad Fakhri Saarani, Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Shaffik Abd Rahman, menjejaskan misi itu.


“Masalah kecederaan dan turun tanpa tonggak utama menjejaskan sedikit gerakan penyudah apa lagi berdepan Kelantan yang membariskan ramai pemain berwibawa,” kata bekas jurulatih Kedah itu.


“Saya terpaksa membuat rombakan mencari kesebelasan terbaik tatkala beberapa pemain utama cedera, termasuk menggunakan khidmat Shukor Adan membantu Hairuddin Omar-Shahurain Abu Samah di depan dan memasukkan Idris Karim pada minit-minit terakhir permainan. 

“Bagaimanapun saya tetap berpuas hati kerana pemain bukan saja berjaya mengimbangi kekuatan skuad Kelantan dan menyerap tekanan, malah mampu mencipta banyak peluang di depan pintu gol lawan, namun sedikit terkilan kerana ia gagal diterjemahkan dengan jaringan.” 

Dia menambah pasukan akan terus memberi peluang kepada pemain muda dari skuad Piala Presiden membabitkan antaranya Mohd Khairul Ridwan dan Muszaki Abu Bakar untuk berada dalam kesebelasan utama selepas mereka menunjukkan prestasi membanggakan dalam aksi sebelum ini. 

No comments:

Post a Comment