Monday 16 May 2011

Juara Piala Sultan Azlan (16/05/2011)

Ciriello muncul wira jaring gol kemenangan pada minit ke-83

JARINGAN emas Christopeher Ciriello pada minit ke-83 membolehkan Australia muncul juara Kejohanan Hoki edisi ke-20 Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan Pakistan 3-2 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi. 

Pemain itu memanfaatkan pukulan sudut penalti pada masa tambahan untuk membolehkan juara dunia itu muncul juara buat kali keenam selepas 1983, 1998, 2004, 2005 dan 2007.


Dalam pertarungan menarik dan sengit antara juara dunia dan Asia itu, Australia yang menduduki tempat ketiga tahun lalu, mendahului melalui pukulan sudut penalti Ciriello pada minit ke-11.


Namun Pakistan, juara 1999, 2000 dan 2003 yang tumpas 5-1 dalam pertemuan pusingan awal bangkit memberi tentangan dan kesungguhan mereka berhasil apabila Sohail Abbas menguis kencang menewaskan penjaga gol George Bazeley untuk gol penyamaan pada minit ke-30. 

Bersambung di babak kedua, Australia kembali di depan apabila Glenn Turner merembat kencang melepasi penjaga gol Imran Shah pada minit ke-44 tetapi Rehan Butt menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat hinggalah Ciriello tampil sebagai wira untuk jaringan emas. 

Sementara itu, Britain menduduki tempat ketiga apabila menumpaskan New Zealand 4-2 selepas bangkit daripada ketinggalan pada minit ke-20 menerusi Stepehn Jennes tetapi Britain memadam kelebihan itu menerusi jaringan Richard Mantell pada minit ke-34. 

Tiga jaringan pada babak kedua menerusi Robert Moore, Richard Smith dan Mathew Daly membolehkan pasukan ranking keempat dunia itu menaiki podium di belakang Australia dan Pakistan. 
Korea pula mengatasi India 2-1 untuk mengakhiri cabaran di tempat kelima, hasil jaringan Nam Hyun Woo dan Jang Jong Hyun manakala India membalas melalui Vishnu Vikram Pillay. 

Kegagalan Malaysia yang menduduki tangga tercorot di kalangan tujuh negara memaksa Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) bertindak memberi keutamaan kepada persiapan pasukan negara untuk menghadapi kejohanan kelayakan Olimpik 2012, bermula April tahun depan. 

Menyedari persiapan negara tidak boleh diganggu, Presiden PHM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pemain kebangsaan tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan Piala Razak atau pertandingan domestik lain. 

“Keutamaan perlu diberikan kepada persiapan pasukan negara. Kita tidak mahu sebarang gangguan dalam tempoh persiapan ini. Saya berharap pasukan negeri dan kelab memahami keadaan ini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment