Monday 16 May 2011

Liga Juara (16/05/2011)

Ferguson alih tumpuan takluk Eropah bertemu Barcelona di Wembley

SIR Alex Ferguson kini mensasarkan trofi Liga Juara-Juara pula, selepas Manchester United memecahkan rekod memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali ke-19, kelmarin.

Sebaik meraikan trofi kemenangan kali ke-36 sepanjang regim 25 tahun kendaliannya di Old Trafford, pengendali berusia 69 tahun itu terus memikirkan pertembungan final Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Wembley, 28 Mei ini.


“Piala Eropah adalah kejohanan yang sepatutnya kami mendapat keputusan lebih baik,” kata Ferguson. “Saya rasa, kami juga sepatutnya menjuarainya dengan lebih kerap. Itu menjadi fokus kami sekarang,” kata pengurus itu sebaik memimpin Red Devils menjulang kejuaraan Liga Perdana biarpun berbaki satu perlawanan.


“Sudah tentulah kami akan meraikannya kemenangan ini (EPL) walaupun beberapa kali berdepan saat sukar. Ini adalah pencapaian hebat dan kami harap dapat meraikannya sekali lagi.”

United mengesahkan kejuaraan EPL musim ini selepas seri 1-1 dengan Blackburn di gelanggang lawan kelmarin, sekali gus memberikan satu mata berharga yang diperlukan untuk memecahkan rekod jumlah kejuaraan yang sebelum ini dikongsi dengan seteru Liverpool.

Keputusan di Ewood Park itu menyaksikan United di depan dengan tujuh mata dan tidak boleh dipintas juara bertahan Chelsea yang boleh memungut enam mata maksimum daripada baki dua perlawanannya.

United pernah memenangi mahkota kejuaraan Eropah sebanyak tiga kali, kali terakhir pada 2008 sedangkan Liverpool memenanginya lima kali walaupun kedua-duanya tertinggal jauh di belakang Real Madrid yang memegang rekod sembilan kejuaraan. – AFP 

No comments:

Post a Comment