Saturday 30 July 2011

Sertai WGC Bridgestone (30/7/2011)

Aksi pertama di kejohanan Dunia selepas hampir 3 bulan berehat 

AKRON, Ohio: Tiger Woods, juara 14 kejohanan utama yang bergelut dengan kecederaan lutut kiri, akan beraksi dalam kejohanan kompetitif pertamanya di kejohanan Dunia minggu depan selepas hampir tiga bulan berehat.
Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan dalam laman webnya kelmarin, dia akan beraksi dalam kejohanan Jemputan WGC Bridgestone bernilai AS$8.5 juta (RM27.2 juta) di Firestone Country Club dekat Akron - yang menyaksikan dia sudah memenangi tujuh kejuaraan di lapangan itu.


“Saya tidak sabar untuk kembali beraksi di luar sana,” kata Woods. 
Woods tidak beraksi sejak 12 Mei apabila menarik diri selepas sembilan lubang di Kejuaraan Pemain yang menyaksikan kecederaan lutut dan tendon kirinya yang dialaminya di kejohanan Masters pada April bertambah teruk. 

“Saya rasa sudah bersedia dan cergas untuk beraksi di Firestone minggu depan. Teruja untuk beraksi semula di luar sana,” kata Woods. 

Woods, yang merudum ke tangga ke-21 ranking dunia, gagal memenangi kejuaraan sejak Masters Australia kira-kira 20 bulan lalu, sebelum skandal seksnya terbongkar yang menjejaskan imej di kalangan peminat dan menyebabkan perceraian dengan isterinya, Elin Nordergen. 
Woods tidak beraksi di Terbuka Amerika Syarikat dan British atas nasihat doktor yang mahu dia berehat untuk membolehkan dia menjalani proses pemulihan lututnya kirinya, hanya mula berlatih memukul bola baru-baru ini. – AFP 

No comments:

Post a Comment