Saturday 30 July 2011

Belum puas (31/7/2011)

'Kami masih perlu seorang pemain tengah, sayap' 

LONDON: Roberto Mancini mendedahkan Manchester City akan terus berbelanja musim panas ini, walaupun sudah menandatangani pemain antarabangsa Argentina, Sergio Aguero yang bernilai 38 juta pound (RM185.4 juta) minggu ini.
Aguero yang menyertai kelab itu dari Atletico Madrid, adalah pemain ketiga dibeli musim panas ini selepas Gael Clichy dan Stefan Savic dibawa ke Etihad Stadium, yang bakal menjadi tuan rumah dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali musim depan.


City sudah memiliki ramai pemain bintang, dengan pemain seperti Craig Bellamy, Roque Santa Cruz, Wayne Bridge, Emmanuel Adebayor dan Nedum Onuoha dianggap lebih daripada memenuhi keperluan mereka – namun tampak pemain baru akan lebih ramai menyusul. 

“Kami masih mahu dapatkan seorang pemain tengah dan seorang pemain sayap,” kata Mancini. “Jika kami mahu bersaing dengan pasukan handalan, kami perlukan lagi pemain.” 

Sementara itu, Mancini mengesahkan Aguero tidak akan beraksi pada perlawanan Piala Super Dublin hujung minggu ini, yang turut menampilkan Celtic, Airtricity XI dan Inter Milan. Sebaliknya, dia dijangka membuat penampilan sulung ketika menentang Manchester United dalam perlawanan Perisai Komuniti di Wembley, minggu pertama Ogos. 

Aguero berkata: “Dalam tempoh lima tahun, saya hanya ada satu cuti, maka saya sudah biasa dengan keadaan itu. Seminggu rehat dan beberapa hari menjalani latihan, saya sudah bersedia untuk bermain.” – Agensi. 

No comments:

Post a Comment