Tuesday 26 July 2011

Cipta gelaran Copa ke-15 (26/7/2011)

Forlan bangga dakap trofi ikut jejak langkah ayah dan datuk

BUENOS AIRES: Uruguay menewaskan Paraguay 3-0 awal pagi semalam untuk mencatat rekod 15 kali menjuarai Copa America dengan penyerang, Diego Forlan menjaringkan dua gol untuk melebarkan jumlah jaringannya kepada 31 dan melengkapkan sejarah menakjubkan keluarganya. 

Penyerang Liverpool, Luis Suarez, yang dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan turut menjaringkan gol tatkala Uruguay meraih kejuaraan pertama benua Amerika Selatan itu sejak 1995 sekali gus mengatasi rekod kejuaraan Copa sebanyak 14 kali yang sebelum ini dipegang bersama Argentina.
Bagi Forlan, ia adalah kemenangan penuh emosi kerana mengikut jejak ayah dan datuknya mencatat nama dalam buku sejarah sebagai pemenang kejuaraan Copa.


“Ini begitu bermakna buat saya kerana datuk saya memenanginya, bapa saya memenanginya dan kini saya juga berjaya melakukannya,” kata bekas penyerang Manchester United itu yang melebarkan jumlah jaringannya di peringkat antarabangsa kepada 31 gol, satu rekod bersama kebangsaan. 

“Tiga generasi sudah memenangi trofi ini. Nama Forlan akan kekal dalam sejarah.” 

Suarez membuka jaringan pada minit ke-12 apabila rembatannya terkena Dario Veron dan mengakibatkan penjaga gol, Justo Villar terkeliru. 

Bintang Atletico Madrid, Forlan menambah gol untuk pasukannya tiga minit sebelum rehat apabila Egidio Arevalo bijak memintas satu hantaran bola dan mengumpan kepada penyerang veteran itu yang dengan yakin merembat ke dalam gawang dengan kaki kiri. 
Ia adalah gol pertama Forlan dalam 13 perlawanan untuk Uruguay, yang menyingkirkan tuan rumah, Argentina di suku akhir dan menguasai saingan final di stadium terkenal kelab River Plate, Estadio Monumental. Penyerang itu kemudian menjaringkan gol ke-31 peribadinya di peringkat antarabangsa pada minit terakhir permainan selepas menerima umpanan daripada gerakan Cavani dan Suarez. - AFP

No comments:

Post a Comment