Tuesday 26 July 2011

Tak gelisah tanpa Safiq (26/7/2011)

‘Pasukan tidak boleh terlalu bergantung kepada seseorang pemain saja’

KETIADAAN perancang utama skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim menyaksikan ‘ada lompong besar’ ditinggalkan di bahagian tengah, namun ia bukan situasi mengundang pening kepala buat skuad negara menanti kunjungan Singapura yang membawa bekalan selesa ke Bukit Jalil, Khamis ini. 

Ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal, kekal optimis dan menyuarakan hakikat dalam bola sepak, sesuatu pasukan tidak boleh terlalu bergantung harap kepada seseorang pemain saja.
“Sebagai jurulatih, saya sedar dengan situasi ini namun saya tidak nampak moral pemain kita jatuh. Sebagai contoh, kita tidak menurunkan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha pada perlawanan pertama namun kita tetap mampu beraksi dengan baik.


“Pemain sudah sedar kesilapan mereka dan tahu apa yang diperlukan ketika melayan kunjungan Singapura nanti,” katanya yang turut mengulas situasi goyah di bahagian pertahanan yang turut membelenggu kem negara. 

“Dari sesi latihan beberapa hari ini, saya sudah meneliti beberapa perkara. Pertahanan kita buat kesilapan mudah selain keadaan padang namun kita tidak boleh meletakkannya sebagai punca utama. 

“Ketiadaan Safiq membuka peluang buat pemain lain menguji kebolehan mereka dan antara yang boleh mengisi ruang itu ialah Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K Gurusamy. 

“Saya yakin dengan barisan yang saya miliki ketika ini dan saya rasa tidak perlu untuk menyenaraikan pemain lain,” kata Rajagobal yang tetap menegaskan sasaran utamanya adalah untuk layak ke Piala Asia 2015. 
Dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Safiq dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nawaf Shukralla dari Bahrain pada minit ke-49 selepas mengasari Hariss Harun, yang menyaksikan skuad negara terpaksa beraksi dengan 10 pemain. 

No comments:

Post a Comment