Sunday 24 July 2011

Tak sabar gegar (24/7/2011)

Bintang Uruguay tekad tamat kemarau tanpa gol 

BUENOS AIRES: Tonggak utama Uruguay, Diego Forlan berkata dia tidak sabar menantikan pertembungan dengan Paraguay pada final Copa America, hari ini.
“Saya gembira mara ke peringkat ini - ia adalah final pertama saya bersama pasukan kebangsaan,” kata penyerang veteran itu yang dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Dunia 2010 apabila membantu pasukan mara hingga ke separuh akhir.


Forlan dianugerahkan Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan selepas meledak lima gol di Afrika Selatan - tetapi pada saingan Copa kali ini, dia masih kemarau jaringan. Peluang terbaik muncul ketika bertemu Peru pada separuh akhir di mana percubaan diselamatkan penjaga gol. 

Namun bekas pemain Manchester United itu tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kegagalannya menggegar gawang sepanjang kempen Copa di Argentina. 

“Saya masih tenang, kami berada di landasan betul. Saya mempunyai beberapa peluang keemasan, tetapi tidak menjadi. Bagaimanapun pasukan kami sudah mencapai sasaran ke final dan itu lebih penting,” kata Forlan. 

Ditanya adakah Uruguay bakal menjadi wakil utama benua Amerika Latin ke Piala Dunia 2014 dan dilihat lebih baik berbanding Argentina dan Brazil pada kejohanan kali ini, Forlan berkata ia masih terlalu awal. 
“Tidak, Argentina dan Brazil adalah dua kuasa besar. Walaupun aksi mereka kurang meyakinkan pada Piala Dunia lalu mahu pun kejohanan di sini. Ia tidak bermakna kedudukan mereka di bawah kami - mereka masih kuat dan mempunyai ramai pemain berbakat,” kata Forlan. - AFP 

No comments:

Post a Comment