Thursday 28 July 2011

Janji beri ‘duit raya’ (28/7/2011)

Hargai kejayaan cemerlang The Red Warriors, skuad Piala Presiden

BERITA gembira menanti The Red Warriors dan skuad Piala Presiden yang bergelar juara Liga Super dan Piala Presiden musim ini kerana bakal menerima imbuhan sebagai menghargai kejayaan mereka. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan khabar itu berkata, barisan pemain kedua-dua skuad berkenaan wajar menerima imbuhan atas pencapaian serta kesungguhan mereka membawa pulang trofi ke Kelantan.
Sambil mengucapkan tahniah atas kesungguhan dan komitmen pemain, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji imbuhan berkenaan akan diberi sebelum Aidilfitri.


“Barisan pemain wajar menerima ganjaran atau imbuhan daripada KAFA atas kejayaan menyumbang trofi Liga Super dan Piala Presiden musim ini. Kemampuan itu membuktikan Kelantan kini berada di landasan terbaik selepas merangkul tiga piala keseluruhan musim ini termasuk Piala Sumbangsih pada awal musim. 

“Bagi saya, ia satu lonjakan baru dalam sejarah bola sepak Kelantan dan diharap mereka mampu mengekalkan prestasi pada musim ini dan akan datang,” katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Presiden 2011 antara Kelantan dan Majlis Perbandaran (MP) Muar di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam kelmarin. 

Pada perlawanan akhir itu, skuad Piala Presiden Kelantan yang juga lebih dikenali sebagai The President Warriors menghampakan MP Muar 2-1, sekali gus membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM100,000 manakala lawan memperoleh RM50,000 selaku naib juara. 

Annuar berkata, kejayaan merangkul Piala Presiden membuktikan Kelantan mampu melahirkan ramai bakat baru, malah boleh diketengahkan mewakili pasukan senior Red Warriors dalam Liga Super akan datang. 

No comments:

Post a Comment