Sunday 24 July 2011

Benteng rapuh punca dibelasah. (24/7/2011)

Mesti menang 2-0 di Bukit Jalil 

KEGOYAHAN benteng Harimau Malaya sekali lagi terserlah apabila lima kali gawang negara dibolosi ketika tunduk 5-3 kepada musuh tradisi, Singapura dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.
Apapun, kebangkitan anak didik Datuk K Rajagobal yang ketinggalan 4-1 pada babak pertama sebelum tewas 5-3 harus dipuji sekali gus menyalakan kembali harapan untuk mengukir sejarah mara ke pusingan ketiga yang pada mulanya tipis.


Ini kerana mereka berpeluang menebus kehampaan itu dengan sekurang-kurangnya menewaskan lawan itu 2-0 dalam baki permainan 90 minit di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini. 

Begitupun, lima gol yang menggegar jaring negara dikawal Mohd Sharbinee Allawee membuktikan kegoyahan benteng diterajui Muslim Ahmad masih belum dapat diatasi selepas melepaskan 14 gol daripada empat perlawanan terakhir sebelum ini. 

Malah, ia membuktikan Singapura begitu ampuh apabila empat daripada lima pemain nutralisasi mereka menyumbang semua gol bagi membolehkan mereka membawa bekalan selesa menghadapi perlawanan kedua. 

Apapun, Harimau Malaya terlebih dulu ceria apabila Safee Sali menggegar jaring lawan menerusi serangan sulung ke kubu lawan ketika permainan baru berusia 30 saat. 
Namun, tuan rumah pantas bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang sensasi berusia 41 tahun, Aleksander Duric sebelum Qiu Li, Mustafic Fahruddin dan Shi Jiayi menjadikan kedudukan 4-1 sebelum rehat. 

Cabaran Harimau Malaya bertambah derita apabila kapten, Safiq Rahim dilayangkan kad merah selepas mengasari Haris Harun minit ke-49. 

Abdul Hadi Yahaya yang masuk menggantikan Ahmad Fakri Saarani menyalakan harapan apabila merapatkan jurang dengan gol kedua pada minit ke-69 sebelum Safee sekali lagi membuktikan bisanya menjaringkan gol ketiga, seminit kemudian. 

Namun, Duric jelas menjadi duri dalam daging kepada benteng negara apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-80 untuk membolehkan Singapura menang 5-3. 

No comments:

Post a Comment