Tuesday 26 July 2011

Masih belum mantap (26/7/2011)

Kemelut di hentian pit jejas kebangkitan Massa, Alonso terumbang-ambing

NUERBURGRING: Ferrari menunjukkan sekali lagi kelmarin bahawa mereka masih dalam keadaan tidak menentu selepas mengharungi permulaan sukar untuk musim Formula Satu (F1) kali ini, apabila satu lagi masalah pada hentian pit berlaku pada Grand Prix Jeman yang membayangi kebangkitan yang ditunjukkan sejak perlumbaan terakhir sebelum ini. 

Fernando Alonso, yang meraih kemenangan dua minggu lalu di Britain untuk kemenangan pertama buat pasukan Itali itu dalam kempen musim ini, kadangkala terpaksa bertarung perit untuk meraih tempat kedua di belakang pemenang yang tidak diduga dan muka lama, Lewis Hamilton dari McLaren.
Pelumba Sepanyol itu dua kali terbabas tetapi berjaya kembali kepada gaya pemanduan kebiasaannya dan berada pada tahap maksimum penggunaan bahan api keretanya apabila dia kehabisan minyak sejurus selepas melintasi garisan penamat dan terpaksa menumpang kereta Red Bull dipandu Mark Webber yang menduduki tempat ketiga. Kedua-duanya terlepas hukuman akibat gelagat melucukan mereka itu.


“Hari ini, kami jelas lebih bagus daripada Red Bull daripada segi prestasi dan ini adalah penting mengambil kira keadaan kami ketika awal musim perlumbaan,” kata Alonso, kini 86 mata di belakang pendahulu kejuaraan dari Red Bull, Sebastian Vettel yang menduduki tempat keempat dalam perlumbaan kelmarin dengan berbaki sembilan lagi perlumbaan. 

“Itu bukan bermakna ia bakal sama dalam perlumbaan seterusnya, tetapi situasi sudah kembali normal. (Selepas melintasi garisan penamat) pasukan memberitahu saya supaya memberhentikan kereta atas faktor keselamatan. Mark berada di situ, maka saya menumpang keretanya.” 

Peminat Ferrari masih bimbang dengan memori pada perlumbaan terakhir tahun lalu apabila Alonso sudah terbayang kejuaraan dunia ketiga sebelum arahan mengejutkan supaya dia memasuki pit kemudian menyebabkannya terperangkap dalam kelompok kesesakan yang akhirnya menyerahkan kejuaraan kepada Vettel. 

Satu lagi situasi panik Ferrari di pit pada lewat perlumbaan di Nuerburgring ialah Felipe Massa yang meraih kedudukan tertingginya musim ini dan memasuki pit lebih awal daripada Vettel, tetapi kemudian terpaksa bergelut dengan skru roda keretanya dan menyaksikan pelumba Jerman itu pula yang keluar dari pit lebih awal daripadanya dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat. - AFP

No comments:

Post a Comment