Thursday 28 July 2011

Tiada formula rahsia (28/7/2011)

Lima bek tengah, tiga bek kiri intai peluang sertai kesebelasan utama

HONG KONG: Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas berkata, dia tidak mempunyai ‘formula rahsia’ untuk membawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali ke kelab London itu selain bergantung kepada bakat yang ada dalam skuadnya. 

“Ini bukan persoalan mengenai saya membawa strategi,” kata Villas-Boas kelmarin.
“Tiada ahli silap mata dalam permainan ini.”


Komennya itu hadir selepas kapten John Terry menyatakan rasa perit menyaksikan Manchester United menjulang trofi EPL musim lalu. 

“Tidak menang membuatkan anda berasa lapar,” kata Terry. “Kami sudah menyaksikan pasukan lain menjulangnya. Tentunya, rasa terbakar dalam hati, ia memberi kesan dan itu yang mendorong kami untuk berusaha lebih keras.” 

Kedua-duanya bercakap pada perlawanan ketiga pra musim Chelsea sempena Jelajah Asia di Hong Kong. Chelsea menentang juara tempatan, Kitchee dalam perlawanan merebut Trofi Barclays Asia, semalam. 

Villas-Boas, 33, yang berkhidmat di Chelsea sebagai pembantu Jose Mourinho, serta menjadi pengurus di Porto dan Inter Milan berkata, dia mengguna kempen jelajah itu untuk lebih mengenali pemainnya sejak melengkapkan perpindahan bernilai 13.3 juta pound (RM64.2 juta) ke Chelsea dari Porto, bulan lalu. 
“Tiada sesiapa membawa formula rahsia dalam permainan ini,” katanya. “Pemain yang kami miliki berjaya kerana mereka sememangnya sudah berjaya sebelum ini, dan mereka mahu berjaya lagi.” 

Pengurus baru itu berkata, dia perlu membuat beberapa keputusan besar, dengan lima bek tengah dan tiga bek kiri sedang mengintai aksi dalam kesebelasan utama skuad itu. 

Selain itu, Didier Drogba, Fernando Torres, Nicolas Anelka dan Daniel Sturridge juga semuanya berebut untuk mengisi apa yang disifatkan sebagai penyerang tunggal dalam formasi 4-3-3 yang sering menjadi pilihan kelab itu, sekali gus menyaksikan jumlah pemain yang ramai di posisi serangan. – AFP 

No comments:

Post a Comment