Saturday 30 July 2011

Sedia tukar wajah Chelsea (31/7/2011)

The Blues mahu buang imej pasukan paling tua dalam EPL 

MENANG atau kalah, Andre Villas-Boas seharusnya tabah menghadapi ujian getir terhadap kesopanan dan kesabarannya - dua isu yang sering kali dihadapi oleh pengurus baru Chelsea.
Dalam kebanyakan sidang akhbar, dia seharusnya bersedia untuk menepis soalan mengenai persamaan dan perbezaan dengan bekas pengurus kelab itu yang berjaya, Jose Maurinho dan isu yang sering diperdebatkan kini iaitu sijil kelahiran pemain veterannya yang kebanyakannya lahir dalam dekad sama dengan tarikh kelahiran Villas-Boas.


Villas-Boas, 33, berkata, usia bukan perkara penting, namun ia tetap mempengaruhi terutama dalam usaha untuk mencapai persefahaman dan keserasian antara kelompok pemain veteran itu dengan pengurus mereka yang hampir seusia. 

Persoalan bilakah Chelsea yang dilabel sebagai sebuah pasukan hebat akan mencatat banyak kejayaan juga sering dipersoalkan kebelakangan ini, malah ia turut dibangkitkan oleh pengurus Manchester United yang disegani, Sir Alex Ferguson, yang dua tahun lalu menyifatkan barisan pemain skuad Chelsea terlalu tua dan dia turut mengulangi pandangan sama tahun ini. 

Ferguson memang sudah sebati dengan sikap sedemikian tetapi komen seperti itu boleh dianggap bukan kebetulan tatkala pengurus United itu jelas boleh dianggap sebagai datuk kepada kebanyakan pemainnya. 

Bilakah pengurus baru Chelsea itu akan mengenepikan beberapa pemain veterannya adalah antara perancangan yang sedang diatur dalam usaha kelab itu membentuk skuad mantap pada masa depan - elemen baru yang sedang diusahakan Villas-Boas menerusi pembeliannya. 
Pengurus warga Portugal itu sudah menandatangani penjaga gol Belgium berusia 19 tahun, Thibaut Courtois dan bersetuju dengan Barcelona terhadap yuran perpindahan untuk seorang lagi pemain 19 tahun pemain tengah, Oriol Romeu, selain turut menunjukkan minat tinggi terhadap penyerang Anderlecht berusia 18 tahun, Romelu Lukaku. 

Ia tidak berakhir di situ dan pengurus baru Chelsea itu juga dikatakan turut mengintai beberapa pemain muda lain untuk pembelian selanjutnya. 

Apa yang tampak bakal dipamerkan oleh Villas-Boas ialah gabungan corak pengurusan yang progresif dan pragmatik yang dianggap sangat penting bagi jawatan seperti yang dipegangnya itu. 

Musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bakal bermula Ogos ini mungkin menyaksikan permulaan Chelsea mengenepikan sedikit demi sedikit pemain veterannya seperti Didier Drogba, Nicolas Anelka, Frank Lampard, Ashley Cole, John Terry, Florent Malouda, Petr Cech dan beberapa lagi serta membina asas pasukan yang ditunjangi pemain lebih muda seperti David Luiz dan Ramires - antara pembelian mahal yang dilakukan oleh Chelsea musim lalu. 

Justeru, selain bermatlamat untuk mencipta kejayaan buat Chelsea, kemasukan Villas-Boas juga boleh dilihat sebagai usaha untuk menukar skuad yang dilabel pasukan paling tua dalam EPL itu kepada antara skuad termuda secara berperingkat. - Agensi 

PROFIL: 
Nama penuh: Luís André de Pina Cabral e Villas-Boas 
Tarikh lahir: 17 Oktober 1977 (33 tahun). 
Asal: Portugal 
Tinggi: 1.82 meter. 
Kelab Sekarang: Chelsea 
Kerjaya pengurus: 
2000–2001 British Virgin Islands 
2009–2010 Academica de Coimbra 
2010–2011 Porto 
2011– Chelsea 

No comments:

Post a Comment