Tuesday 26 July 2011

Sedia ‘takluk’ dunia (26/7/2011)

Undian Kejohanan Dunia beri bayangan jaguh negara bakal rentap Lin Dan

LEE Chong Wei dijangka berentap dengan musuh tradisi, Lin Dan bagi memburu mahkota kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia yang bakal diadakan di London bermula 8 sehingga 14 Ogos ini.

Dalam undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam, pemain nombor satu dunia itu akan membuka cabaran di Wembley Indoor Arena menentang pemain Thailand, T Saensomboonsuk di pusingan pertama.
Apapun, cabaran getir bagi Chong Wei dijangka bermula pada pusingan ketiga apabila dia dijangka menentang pilihan kesembilan kejohanan, Park Sung Hwan dari Korea dan andai melepasi halangan itu satu lagi nama besar, Chen Long dari China bakal menunggunya.


Berpandu kepada status dunia, pemain negara mampu meniti ranjau itu dan mungkin bertemu bintang Indonesia, Taufik Hidayat (pilihan ke-4) atau Chen Jin (pilihan ke-6) dari China dalam separuh akhir nanti.

Apapun, ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek tetap menganggap undian kali ini satu tugasan getir harus dilalui jaguh negara.

“Jika Chong Wei berhempas pulas menang di pusingan awal dan terpaksa bermain diset penentuan , itu boleh menjejaskan prestasinya pada perlawanan seterusnya sehingga ke final.

“Undian ini masih sukar kerana ada pemain China yang sedikit sebanyak boleh memberi tentangan sengit kepada Chong Wei walaupun dia boleh menang ke atas pemain berkenaan,” katanya ketika ditemui di majlis undian kejohanan itu, di Hotel Park Royal, semalam. 
Rashid berkata pemain perseorangan negara itu harus lebih fokus satu persatu lawan dan jangan terus fokus ke arah final. 

“Apa yang penting apabila sudah melepasi pusingan pertama... pusingan kedua. Jadi, perlawanan seterusnya akan lebih baik,” katanya yang menganggap kejohanan dunia kali ini medan terbaik untuk Chong Wei muncul pemain pertama negara memenangi gelaran. 

No comments:

Post a Comment