Saturday 30 July 2011

Pilih skuad kebangsaan secara terbuka (31/7/2011)

PENYERTAAN pemain skuad senior kebangsaan untuk kejohanan utama harus dibuat secara terbuka pada masa akan datang, bukan eksklusif kepada pasukan projek tertentu saja. 

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa mengemukakan cadangan itu rentetan kekalahan Harimau Malaya kepada Singapura dengan agregat 6-4 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini.
Menurutnya, pemilihan harus dibuat secara merit berdasarkan pemain yang mempamerkan persembahan terbaik semasa dalam liga dan tidak terhad kepada saingan tempatan saja.


“Ini termasuk memanggil mana-mana pemain warga negara Malaysia, sama ada menerusi ibu atau ayah tetapi cemerlang di liga luar. Saya tahu, kita ada beberapa pemain seperti ini di Australia dan Eropah,” kata Anuar merujuk peraturan fleksibel FIFA. 

Begitupun, pembangunan bakat muda menerusi program projek tetap diteruskan. 

Menurutnya, semua maklum balas diterima selepas kekalahan negara baru-baru ini, akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pembangunan Pasukan Kebangsaan. 

Terdahulu, Annuar menyampaikan hadiah kepada pemenang Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan yang diungguli Sabah selepas menewaskan Polis 1-0 pada final di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. 
Sihaya Ajad yang terpilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, membolehkan Sabah membawa pulang RM10,000 selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-56. 

KEPUTUSAN 
Final: Sabah 1 Polis 0 
Penentuan ketiga: Kuala Lumpur 4 Kedah 2 

No comments:

Post a Comment