Tuesday 2 August 2011

‘jatuh hati’ di Bath (2/8/2011)

Jaguh negara sedia fokus ke arah kejuaraan dunia di Arena Wembley 

LEE Chong Wei sudah mula ‘jatuh hati’ kepada pusat latihan di Universiti Bath yang terletak di barat daya England selepas menyepikan diri, tahun lalu bagi misi Kejohanan Badminton Dunia.
Pemain nombor satu dunia itu bakal mengetuai cabaran skuad negara di Arena Wembley, London yang bermula pada 8 hingga 14 Ogos ini sudah pun mula menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Sukan Prestasi Tinggi (PLPT) itu sejurus tiba, Rabu lalu sehingga mereka bertolak ke London, Khamis ini.


Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata semua pemain di situ turut diselia lapan pegawai Institut Sains Sukan Negara (ISN) dan juga dua tukang masak. 

“Laporan yang saya terima ada menyebut semua pemain berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan disediakan di universiti itu. Chong Wei sudah bersuara mahu berlatih di tempat yang sama bagi persiapan Olimpik 2012 nanti,” katanya, semalam. 

Kenny berkata lapan pegawai ISN - kebanyakan fisioterapi dan jurulatih fizikal banyak membantu skuad negara disamping dengan juadah cita rasa Malaysia disediakan tukang masak yang dibawa khas. 

“Mereka gembira apabila dapat menjalan latihan tanpa ada gangguan dan dapat memberi fokus sepenuhnya. Pada sebelah malam pula, mereka dapat membuat perbincangan dan membuat analisis video perlawanan,” katanya. 
Selain Chong Wei yang akan cuba merangkul gelaran dunia pertama buatnya, skuad badminton negara yang menjalani latihan di Universiti Bath ialah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif-Hoon Thien How, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Ng Hui Lin-Ng Hui Ern, Ong Jian Guo-Sabrina Chong dan Goh Liu Ying (yang akan digandingkan dengan Peng Soon dalam beregu campuran). 

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann berlepas ke London, Jumaat ini. 

No comments:

Post a Comment