Tuesday, 2 August 2011

Buru tiga pemain belum kesampaian (2/8/2011)

HAJAT besar Negeri Sembilan mendapatkan khidmat tiga pemain daripada pasukan lain menguatkan jentera pasukan menghadapi kempen Piala Malaysia dijadualkan bermula awal September ini belum kesampaian berikutan tindakan membisu pengurusan pasukan. 

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata tiga pemain diburu adalah dua dari Pahang dan satu dari Perlis, namun sehingga kini pengurusan kedua-dua pasukan pemain terbabit belum memberi sebarang jawapan.
“Kita sudah berhubung dengan pengurusan pasukan Pahang mendapatkan khidmat Munir Rahman dan seorang lagi pemain pasukan itu selain Mohd Faiz Subri dari Perlis, tetapi sehingga kini tiada perkembangan positif daripada pasukan terbabit. Kita tidak pasti sama ada mereka dibenarkan dipinjam atau sebaliknya.


“Begitupun saya berhasrat mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Mohd Faiz sebaik pulang ke Alor Setar dalam tempoh terdekat ini, bagi mendapatkan kepastian sama ada dia (Mohd Faiz) bersetuju bersama Negeri Sembilan atau sebaliknya. 

“Jika usaha yang dijalankan ini tidak berjaya, kita mungkin beralih dengan pasukan lain bagi mendapatkan pemain yang boleh membantu memantapkan lagi kekuatan pasukan demi merealisasikan sasaran merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini,” katanya semalam. 

Mengenai persiapan latihan, bekas pengendali kebangsaan dan Kedah itu berkata, anak buahnya akan memulakan latihan minggu depan selepas mereka diberikan cuti seminggu sempena menyambut Ramadan dan latihan akan diadakan pada sebelah malam. 

“Bagi memastikan persiapan pasukan benar-benar memuaskan, kita juga sudah merangka beberapa perlawanan persahabatan termasuk yang terdekat membabitkan pasukan Johor FC dan Sarawak bagi menilai kemampuan dan persefahaman pemain,” katanya. 

No comments:

Post a Comment