Tuesday 2 August 2011

Ungguli Klasik Bank singkir Bartoli (2/8/2011)

STANFORD (California): Serena Williams merangkul kejuaraan tenis pertamanya sejak kembali beraksi apabila menewaskan Marion Bartoli 7-5, 6-1 di final Klasik Bank of The West, kelmarin. 

“Kembali beraksi dan mendengar tepukan gemuruh apabila berjalan di luar sana adalah sesuatu yang saya amat rindukan,” kata Serena. “Saya gembira dapat kembali dan menjadi sebahagian daripada saat ini.”
Kejayaan itu lebih manis buat Serena kerana Bartoli, yang menduduki ranking kesembilan dunia, pernah menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia itu pada pusingan keempat Wimbledon tahun ini.


Penampilan pada final kelmarin adalah yang pertama buat Serena sejak menjuarai All England Club tahun lalu, dan persembahan terbaiknya selepas berehat hampir setahun kerana menghidap darah beku dalam paru-parunya yang memerlukan pembedahan segera. 

Turun sebagai pemain ranking ke-169 dan bukan pilihan kejohanan, Serena mengharungi kejohanan berkenaan dengan mudah, termasuk mengalahkan Maria Sharapova 6-1, 6-3 pada suku akhir. 

Persembahan cemerlangnya diteruskan ketika menentang Bartoli, yang berpeluang berehat panjang selepas lawannya pada separuh akhir - Dominika Cibulkova menarik diri kerana mengalami ketegangan otot perut. 

“Saya benci dengan nombor tiga digit,” kata Serena mengenai ranking dunianya sebelum ini. “Kini saya perlu kembali ke angka tunggal.” – AP 

No comments:

Post a Comment